BEKAS pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon tampil menjelaskan maksud ‘dangerous’ yang dinyatakan ketika sesi bersama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan pemilik akaun X, @RimauXI di sebuah hotel terkemuka ibu negara pada Selasa.

Ini susulan daripada hantaran balas Tunku Ismail kepada @RimauXI yang menyuruh pemilik akaun itu bertanya sendiri kepada Pan-gon apa yang dimaksudkan sebagai bahaya itu dan sesi pertemuan diadakan antara tiga individu.

Pan-gon menjelaskan penguasaan Bahasa Inggerisnya yang kurang bagus menyebabkan pemilihan perkataan yang kurang tepat digunakan hingga dijadikan tajuk utama majoriti media massa dan elektronik dalam negara.


Apa yang dimaksudkan oleh pengendali asal Republik Korea itu ialah perkara yang dibincangkan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin adalah informasi dalaman yang tidak sesuai dibincangkan kepada umum.

“Ianya lebih kepada perkara berkaitan taktikal dan pembangunan pasukan yang mungkin boleh digunakan lawan sebagai kelebihan jika ianya didedahkan kepada umum. Atas sebab itu saya rasakan ianya tidak sesuai dan bukan bermaksud bahaya.

“Saya tidak pernah merasa tidak selamat di Malaysia dan mungkin kerana penguasaan bahasa Inggeris saya yang kurang baik menyebabkan salah faham ini terjadi,” jelasnya yang bersaksikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Sesi pertemuan antara Pemangku Sultan Johor dan Kim Pan-gon

Sesi yang berlangsung secara harmoni itu juga turut dihadiri beberapa wakil media yang menurut Pan-gon banyak menyokong dirinya ketika menyandang jawatan ketua jurulatih dan dia berterima kasih kepada semua pihak.