PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu menggunakan segala kelebihan yang ada sebagai tuan rumah untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila berhadapan Oman dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa.

Malaysia yang tewas 0-2 kepada lawan yang sama di Muscat Khamis lalu kini fokus dalam proses pemulihan pemain selain memperbaiki beberapa masalah yang sudah dikenalpasti pada perlawanan sebelum ini.

Ketua jurulatih asal Republik Korea itu juga sedar akan cabaran yang dibawa Oman namun dia percaya dengan sokongan pada penyokong, anak-anak buahnya mampu memberikan satu keputusan yang memuaskan hati.

Pan-gon mahu gunakan segala kelebinan beraksi di laman sendiri

“Kami kembali dari Oman dengan fokus untuk pemulihan dan perbaiki beberapa masalah dari perlawanan lalu serta melakukan persediaan untuk perlawanan esok. Semua tahu esok adalah perlawanan penting, oleh itu kami mahu gunakan segala kelebinan di tempat sendiri dan mahu berikan penyokong persembahan dan keputusan yang baik.

“Semua pemain cergas dan bebas dari kecederaan dan kami tahu Oman adalah pasukan yang baik dan lebih baik dari kami. Pastinya sukar dan untuk esok mereka sudah pasti mahu mengekalkan tangga teratas dan akan serang kita tetapi apa yang penting di laman sendiri kami mahu beri saingan dan akan berikan perlawanan yang menarik.

“Kami tidak dapat lakukan banyak perkara kerana tempoh antara dua permainan terlalu rapat cuma pastikan semua pemain cergas dan kami perbaiki perkara yang melibatkan kekurangan kecergasan permainan dan kami cuba perbaiki segera dan harap kami dapat atasi masalah ini.

Pengendali Harimau Malaya sasar sekurang-kurangnya satu mata bertemu Oman

“Kita berada dalam keadaan yang sukar tetapi ianya tidak boleh menyekat kami kerana mereka mahu ke peringkat seterusnya dan ini menjadikan pemain lebih semangat dan kami perlukan sokongan penyokong untuk berjuang bersama-sama,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Pan-gon juga sedar dengan kekuatan Oman selaku pasukan ranking ke-80 dunia dan dia optimis dengan meletakkan satu mata namun dia tetap berharap Malaysia mampu meraih kemenangan sekaligus membawa pulang tiga mata.

“Jika kita dapat satu mata dengan pasukan dari Pot 1 ianya sangat bagus dan tiga mata tentunya hebat tetapi sekurang-kurangnya satu mata mencukupi,” jelasnya lagi.