KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berpuas hati dengan perkembangan terkini barisan pemain yang dipanggilnya ketika menjalani sesi latihan di Padang Wisma FAM sejak Isnin.
“Setakat ini, saya berpuas hati dengan perkembangan yang baik sejak Isnin lalu. Kita cuba mengaplikasikan model latihan yang telah dibuat. Dengan kombinasi pemain muda dan senior , saya yakin Malaysia mampu melangkah ke hadapan,” ujarnya dalam sidang media pra perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Dalam pada itu, beberapa pemain kebangsaan berada dalam keadaan yang tidak sihat sekaligus menyebabkan mereka tidak dapat bersama dalam aksi menentang Kemboja esok.
“Ya . Ada beberapa pemain tidak dapat menyertai perlawanan esok kerana tidak sihat. Kita akan berkomunikasi dengan pasukan medikal dan kita akan tentukan,” jelasnya.
Haqimi Azim turut terlepas slot dalam perlawanan esok dan akan mendapat pantauan dari bahagian medikal untuk pengesahan lanjut tentang status kesihatan terkininya.
Sementara itu, Darren Lok menegaskan perlawanan esok amat penting bagi pemain mendapatkan keserasian dalam padang sebelum aksi lebih penting menjelang Piala AFF Mitsubishi Electric kali ini.
Paling penting adalah pemain perlu bijak menggunakan peluang agar terus mendapat minit permainan yang mencukupi agar kecergasan mereka sentiasa berada di tahap optimum.
“Sudah tentu ia perlawanan yang penting bagi kami. Ada banyak pemain baru, jadi kita perlu dapatkan keserasian. Ia penting bagi kami mendapatkan minit permainan.
“Bagi saya, sangat penting untuk beraksi dengan baik untuk pasukan kebangsaan, fokus saya hanya untuk membantu skuad negara pada ketika ini,” kongsinya.
Selain itu, Darren yakin kombinasi pemain lama dan baharu dapat membentuk sebuah pasukan yang kuat dan memiliki kemampuan tersendiri demi pembangunan bola sepak negara pada masa hadapan.
“Ada gabungan pemain yang baharu dan lama dalam pasukan. Mereka akan jadi pemain yang baik dan berpengalaman nanti. Sesuai untuk digunakan pada masa hadapan bola sepak kebangsaan,” katanya.