KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon merasakan skuadnya telah menunjukkan peningkatan dari segi persembahan meskipun masih tidak mencapai tahap seperti yang dia mahukan.
Namun begitu dia gembira dan bangga dengan semangat kemenangan Harimau Malaya di laman sendiri apabila hanya tewas sekali kepada Bahrain ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam pertemuan dengan pasukan di ranking 146 dunia Hong Kong pada Selasa, dua gol jaringan Akhyar Rashid dan Faisal Halim sudah cukup untuk memberikan kemenangan kedua Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
“Objektif pasukan ini masih berterusan tetapi saya dapat melihat perubahan dalam pasukan namun masih ada banyak yang perlu diperbaiki untuk mencapai satu lagi tahap tetapi saya gembira dengan kemenangan ini.
“Saya juga gembira dengan semangat kemenangan yang ditunjukkan kerana seingat saya, kita hanya tewas kepada Bahrain di laman sendiri sejak Mac tahun lalu dan kita perlu jadikan laman sendiri sebagai kubu kuat dengan sesiapa yang bertandang akan ditewaskan.
“Kita menang dua perlawanan berturut-turut dengan Hong Kong dan saya gembira dengan keputusan ini. Terima kasih kepada TMJ kerana telah memberikan fasiliti terbaik sebagai persiapan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa ini.
“Terima kasih juga kepada Presiden FAM yang sentiasa menyokong kami selain kepada penyokong yang hadir meskipun pada bulan Ramadan dan sokongan ini memberikan kami motivasi untuk bertarung membawa nama Malaysia walaupun ianya adalah satu perlawanan yang sukar,” kata Pan-gon dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu, Pan-gon juga berikrar mahu membantu pemain negara untuk mencapai tahap potensi mereka untuk memastikan pasukan dapat terus menunjukkan peningkatan menjelang perlawanan antarabangsa Fifa selepas ini pada Jun.
“Saya mahu pemain mengekalkan kestabilan ketika beraksi. Kami mahu capai lebih dari ini dan tidak mahu berpuas hati setakat ini. Saya berharap para pemain dapat bermain lebih kerap dan bersaing sesama sendiri untuk menjadikan skuad lebih mantap,” tambahnya.
Dua kemenangan yang dicatatkan pada kalendar Mac ini menyaksikan Malaysia menambah hampir 10 mata ranking dan melonjak ke tangga 139 dunia berbanding 146 sebelum ini.