KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon memuji persembahan pemain Malaysia apabila nyaris melakar kejutan menewaskan Korea Selatan.
Dalam aksi terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023, Malaysia berjaya mengikat Taegeuk Warriors 3-3 pada perlawanan penuh drama.
“Bagi kami ia adalah hasil yang hebat. Tahniah kepada semua peminat Malaysia, saya menghargai sokongan yang kami ada.
“Saya berterima kasih kepada semua pemain atas apa yang telah mereka lakukan,” kata Pan-gon.
Harimau Malaya yang kecundang dalam dua aksi awal sebelum ini tampil lebih bertenaga sepanjang 90 minit permainan di mana pada satu ketika anak buah Pan-gon berjaya mendahului dengan 2-1.
Reputasi gergasi Asia selaku pasukan Piala Dunia serta berada di kedudukan ranking ke-23 dunia tidak menggerunkan pemain negara yang tetap berjuang hingga wisel penamat sebelum Romel Morales muncul penyelamat dengan gol ketiga di masa kecederaan.
Kejayaan mengikat Korea Selatan ini sekurang-kurangnya mengubat duka kem negara untuk membawa pulang satu mata daripada edisi ke-18 ini.
Namun beliau mengakui sukar sebelum ini untuk memotivasikan pemain selepas mereka terlepas sasaran mara ke Pusingan 16.
“Saya berbangga dengan semua pemain. Pada separuh masa pertama, kami bergelut tetapi pada separuh masa kedua, kami bangkit.
“Kami di atas, kemudian kami di bawah dan kami menamatkan dengan gol penyamaan.
“Ia adalah persembahan dan keputusan yang menakjubkan. Korea Selatan mempunyai kualiti dan kuat dalam penguasaan bola.
“Kami merasai tahap tertinggi (bola sepak), kami merasakannya, kami menangani ketakutan, kami memperoleh banyak dan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk langkah seterusnya,” katanya.