KEJAYAAN Malaysia melengkapkan misi ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit melegakan seluruh peminat termasuk pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Malah, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mengucapkan terima kasih kepada penyokong ke-12, khususnya Ultras Malaya yang tidak henti-henti membakar semangat pemainnya sepanjang perlawanan.
Dia turut memberi kredit kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyalurkan 15 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), semua pasukan Liga Super serta kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebalik kemenangan bermakna di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Terima kasih atas sokongan anda yang setia kekal mendukung kami. Saya bangga dengan mereka yang bermain sepenuh jiwa, bertenaga dan bersemangat.
“Aksi pemain di babak pertama membuatkan saya gembira. Saya nak lihat pemain meraikan kemenangan ini di halaman sendiri. Ini adalah festival dihadapan 50,000 penyokong yang hadir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Dia juga memuji pasukan Bangladesh yang melakukan tugasan terbaik walaupun tewas jumlah margin besar 1-4 di tangan anak buahnya.
“Atmosfera penyokong betul-betul mengagumkan saya. Terima kasih sekali lagi,” katanya.
Kini, sasaran Piala Asia 2023 telah dicapai dengan jayanya dan Pan-gon mengalihkan tumpuan kepada kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 akhir tahun nanti.
“Saya meletakkan demand tinggi kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk segala permintaan dan kemudahan yang diperlukan. Namun, saya tetap cuba bagi yang terbaik dan kita berjaya capainya,” ujarnya tiada sebarang rungutan kepada pemain negara.