PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon percaya Faisal Halim adalah seorang pemain yang profesional untuk memastikan dirinya kekal berada pada prestasi terbaik untuk terus menabur khidmat bersama skuad kebangsaan.

Pemain sayap kebangsaan itu sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun Pan-gon tidak terlalu bimbang kerana dia tahu kualiti yang ada pada Faisal dan akan terus beri ruang untuknya menyarung jersi negara.

“Sebagai pemain profesional, dia bermain semua perlawanan sejak beberapa bulan lalu dan dia hanya terlepas beberapa perlawanan sahaja setakat ini jadi saya rasa ia tidak memberi kesan kepada persembahannya.

“Kita lihat bagaimana keadaan dia, apa boleh kita bantu dan pastinya kita akan cuba melakukan yang terbaik untuknya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Pestabola Merdeka 2023 di Wisma FAM pada Selasa.

Faisal atau mesra disapa Mickey telah diberikan kelonggaran untuk turun menjalani latihan bersama kelabnya meskipun Jawatankuasa Rayuan mengekalkan hukuman penggantungannya.

Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin enggan campur tangan dan menyerahkan kepada Pan-gon untuk menentukan nasib Mickey bersama Harimau Malaya.

Kem latihan pusat akan bermula awal September ini dengan Malaysia bakal terbang ke Chengdu, China untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang China dan Syria dan Pan-gon kini sedang mempersiapkan barisan terbaik sebagai persiapan ke Piala Asia AFC 2024.