SEKURANG-KURANGNYA dua pingat sudah berada dalam genggaman kontinjen negara, apabila skuad kriket lelaki, 50-Over dan Twenty20 (T20) melangkah ke final.
Sehari selepas pasukan 50-over sahkan tempat ke final, semalam, giliran pasukan T20 melangkah ke akhir selepas mengatasi Thailand dengan lapan wiket, sekali gus menjuarai kumpulan A dalam aksi di AZ Group Cricket Oval.
Malaysia, yang menang undian coin toss, memilih untuk memadang dan melakukan 114 larian dalam 12.3 over, manakala Thailand berjaya melakukan 113 larian dengan 20 over.
Kapten pasukan Ahmad Faiz Mohamad Noor berkata, prestasi pasukan amat memuaskan terutamanya aksi hebat dipamer Vijay Unni Suresh, Virandeep Singh dan Syed Aziz Syed Mubarak, meskipun berdepan kesukaran bermain di permukaan padang yang tidak rata.
“Alhamdulillah satu keputusan positif, saya sangat gembira dengan prestasi pemain seperti Vijay Unni dan Virandeep yang masing-masing berjaya mendapatkan dua wiket, manakala Syed Aziz pula berjaya (lakukan) 55 larian selain dua run-outs sepanjang permainan,” katanya.
Hasil kemenangan itu, membolehkan skuad T20 negara ke final, dan menanti juara kumpulan B untuk penentuan pingat emas pada Khamis depan.
Sementara skuad 50-Overs akan menentang Kemboja pada penentuan emas yang akan berlangsung Ahad ini.