KUALA LUMPUR CITY FC akan melakukan penambahbaikan dalam pasukan bagi menghadapi musim Liga Super 2023 selepas berjaya mengharungi musim yang cemerlang sepanjang 2021 dan 2022.
Selepas muncul juara Piala Malaysia pada 2021, KL City meneruskan kejutan apabila berjaya layak ke final Piala AFC sebelum mimpi indah mereka dihentikan oleh wakil Oman Al-Seeb.
Beberapa analisa telah dilakukan dan pihak pengurusan serta kejurulatihan kelab bersetuju mereka perlukan seorang lagi pemain seperti kapten fantastik, Paulo Josue bagi memastikan kelab mampu untuk bersaing lebih baik dalam semua pertandingan yang disertai.
Menurut Presiden KLFA, Khalid Samad, Kuala Lumpur City FC kini dalam peringkat terakhir proses menaturalisasikan dua pemain mereka, Paulo Josue dan Romel Morales sekaligus membuka kuota pemain import yang boleh ditandatangani.
“Selepas barisan kejurulatihan melakukan analisa, Al Seeb sudah mengkaji perlawanan kami dengan mengawal Paulo Josue sekaligus merencatkan permainan kami dan kelab perlu ada seorang lagi pemain setarafnya untuk musim depan.
“Pihak kami juga sedang berusaha untuk melengkapkan proses naturalisasi Romel dan Paulo sekaligus kami boleh mendapat tambahan kuota import untuk menguatkan lagi skuad kami.
“Selain itu, pihak KL City juga ada menerima tawaran dari sebuah syarikat berasaskan teknologi untuk membuat pelaburan yang mampu menjana pendapatan buat kelab selain menerima tawaran penajaan dari empat syarikat dari pelbagai industri,” kata Khalid dalam sidang media khas di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Dia juga mahu Stadium Cheras itu menjadi milik penuh KL City selain meningkatkan kemudahan terutama pusat latihan dengan akademi yang baharu yang dilengkapi lima hingga enam padang bola sepak akan dibina dengan menepati piawaian antarabangsa.
Kuala Lumpur City FC kini di kedudukan ranking ketiga kelab ASEAN dibelakang BG Pathum dari Thailand dan Johor Darul Ta’zim dan kejayaan serta prestasi cemerlang ini diharap dapat menjamin kestabilan kewangan kelab ini.