KUALA Lumpur  City FC bersemangat menyokong keputusan Malaysia untuk menjadi tuan rumah kepada aksi Kelayakan Bersama Piala Dunia FIFA 2026/Piala Asia AFC 2027 Kumpulan I melibatkan Palestin dan Australia menurut Pengarah Rinani dan jurucakap bagi KL City, Azri Azerai.

Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 21 September 2023 itu bakal diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menurut ciapan yang dilakukan Timbalan Menteri Belia Dan Sukan (KBS) Adam Adli pada Khamis.

Keputusan penganjuran ini dibuat selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menolak pelawaan Algeria untuk menjadi tuan rumah atas sebab negara itu berada di benua Afrika dan di luar bidang kuasa AFC dan meminta Palestin mencari venue neutral di Asia.

“Walaupun KL City bukanlah menjadi penganjur perlawanan itu secara langsung, kami berbangga dengan keputusan Malaysia memilih gelanggang kami yang sentiasa bersedia untuk menganjurkan acara antarabangsa ini.

“Persembahan cemerlang kami di Piala AFC musim lalu dan kerjasama erat dengan AFC adalah bukti kemajuan lanskap bola sepak di Malaysia dan kami juga memahami tentang kepentingan venue untuk perlawanan antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan media.

ARTIKEL BERKAITAN : Malaysia jadi hos untuk Palestin: FAM akan bincang dengan KBS

KL City juga tidak sabar untuk menjadi saksi kejayaan acara ini yang bukan sahaja akan menarik minat penyokong bola sepak tempatan malah turut mengukuhkan hubungan diplomatik dan budaya antara kedua-dua negara.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi gelanggang neutral untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia FIFA 2018 antara Syria dan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 2017 dan aksi antara Syria dan Korea Selatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 2016.