PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak sedar pasukannya memerlukan tiga mata pertama dalam Liga Super musim ini namun dia juga sangat arif tentang kesukaran bermain di Kota Bharu dihadapan penyokong fanatik pasukan Kelantan FC.

KL City bertandang ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV dalam misi mencari kemenangan sulung selepas hanya mencatatkan dua keputusan seri dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan awal sebelum ini.

Bojan juga gembira kerana perlawanan menentang Negeri Sembilan FC pada Sabtu ditunda kerana keadaan padang yang mustahil untuk bermain bola dan boleh mengundang kecederaan kepada pemain.

“Kami semakin bagus dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan pemain yang mengalami kecederaan juga sudah kembali berlatih. Kota Bharu bukan tempat yang mudah untuk menang kerana semangat melawan pasukan Kelantan FC sangat bagus terutama apabila mereka mempunyai ramai pemain-pemain muda.

“Ianya pasti satu perlawanan yang sukar tetapi kami akan cuba untuk bermain permainan kami dan cuba pulang dengan tiga mata meskipun sukar kerana mereka adalah pasukan bagus yang bermain di hadapan penyokong sendiri.

“Saya sentiasa mempunyai memori yang baik di Kota Bharu. Keadaan di luar padang pastinya lebih tenang berbanding di dalam padang yang sedikit tegang kerana kami perlu fokus kepada permainan dan mungkin stadium itu akan membawa tuah kepada saya.

Bojan ketika mengendalikan Kelantan pada 2012

“Nasib baik perlawanan di Paroi ditunda kerana mustahil untuk bermain di padang seperti itu dan tindakan penundaan itu berjaya mengelakkan kecederaan pemain,” katanya ketika ditemui Flash Sukan di sesi latihan rasmi kelab.

Jurulatih kelahiran Croatia itu juga menjelaskan Kevin Mendoza mungkin tidak dapat diturunkan kerana kecederaan dan dia juga tidak akan menyertai skuad kebangsaan Filipina untuk perlawanan antarabangsa selain Zhafri Yahya yang mengalami sedikit kecederaan di kakinya.