RINANI, sebuah firman perunding kewangan secara rasminya menjadi pemilik Kuala Lumpur City FC (KLCFC).

Rinani Group Berhad telah menandatangi perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk memperoleh pegangan majoriti dalam KLCFC sekaligus bergelar pemilik kelab pasukan ibu kota ini.

“Melalui SSA ini secara rasmi menjadikan Rinani sebagai pemilik majoriti KLCFC. Kami berjanji untuk membawa prestasi KLCFC di atas padang ke tahap yang lebih tinggi dengan menumpukan perhatian kepada kejurulatihan, pengambilan pemain dan pembangunan remaja dan kami menjanjikan peminat kami penglibatan dan pengalaman yang lebih baik untuk nilai wang mereka.

“Selain permainan, kami juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan aliran pendapatan untuk KLFC agar ia dapat mampan dan terus mengekalkan kelab itu.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada KLFA atas semua yang telah mereka lakukan selama ini untuk kelab dan kami akan membinanya untuk membawa KLCFC ke peringkat seterusnya.

“Kami akan berusaha ke arah mengadakan lebih banyak kerjasama korporat dan penajaan untuk kelab itu mampan dari segi kewangan serta memastikan tahap latihan yang boleh membawa kelab ke peringkat antarabangsa.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan beliau terhadap usaha kami dan untuk menggalakkan pertumbuhan bola sepak Malaysia,” jelas Pengarah Rinani Azri Azerai dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu Presiden KLFA Khalid Abdul Samad berkata, hari bersejarah bagi KLCFC dengan pemilikan majoriti KLFC beralih kepada Rinani.

“Penswastaan ​​kelab adalah demi kepentingan semua pihak yang terlibat dalam sukan bolasepak profesional, termasuk pemain, penyokong, penaja dan vendor yang berkait rapat dengan kelab selama ini.

“Kami mendoakan agar tindakan ini akan mendatangkan kejayaan kepada bukan sahaja KLCFC dan Rinani Group tetapi juga KLFA itu sendiri”.