PASUKAN Kuala Lumpur City FC teruja selepas dipilih oleh Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) sebagai salah satu daripada dua kelab Malaysia untuk beraksi di AFF Shopee Cup 2024-25 yang dahulunya dikenali sebagai Kejuaraan Kelab Asean.
AFF Shopee Cup 2024-25 yang julung kali dilangsungkan akan menyaksikan 12 kelab dari rantau Asia Tenggara untuk bersaing merebut kejuaraan bermula 17 Julai 2024 hingga 21 Mei 2025 dengan Terengganu FC adalah satu lagi kelab yang mewakili Malaysia.
Ketua jurulatih baharu KL City, Miroslav Kuljanac mengakui perkara ini adalah sesuatu yang mengujakan dan dia berharap dapat membentuk sebuah skuad yang mantap untuk memberikan saingan.
“Ini adalah perkara yang penting buat kelab ini dan berharap dapat beri saingan yang baik bersama-sama pasukan hebat dari rantau ini tetapi fokus kami pada ketika ini adalah untuk membina skuad yang mantap dan mampu bersaing,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Perasaan yang sama turut dikongsi ketua pasukan, Paulo Josue yang mengakui kelab seperti KL City sememangnya perlu beraksi di tahap yang lebih tinggi terutama dengan kualiti yang ada pasukan itu.
Bagaimanapun dia menolak kemungkinan KL City akan dipilih sebagai pasukan pilihan kerana dia sedar akan beberapa masalah yang menimpa kelab musim lalu tetapi masih cukup untuk berikan saingan yang hebat.
“Ini adalah peluang yang sangat besar buat kami. Meskipun pengurusan masih belum meletakkan sasaran tetapi kami sebagai pemain mahu menjadikan kejuaraan ini sebagai sasaran utama musim ini dan letakkan segala kekuatan di sini.
“Tidak mungkin kami diletakkan sebagai pilihan kerana kelab ini adalah kelab yang kecil dan mempunyai beberapa masalah tetapi kami tetap yakin dengan kemampuan kami sebagai satu pasukan,” katanya selepas perlawanan pramusim menentang Melaka FC.
Selain dua kelab dari Malaysia, Shopee Cup akan disertai masing-masing dua kelab dari Indonesia, Thailand dan Vietnam serta masing-masing satu dari Filipina dan Singapura manakala kelab Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar akan merebut baki dua slot menerusi perlawanan pusingan play-off.
12 kelab itu akan diundi dalam dua kumpulan dengan format ‘home and away’ sebelum dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir sebelum aksi final yang dijalankan juga secara ‘home and away’.