KUALA Lumpur International Open Bowling Championship kembali dianjurkan oleh Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini selepas lapan tahun menyepi.

Kejohanan terbuka antarabangsa itu akan diadakan di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid pada 18 Mei sehingga 26 Mei 2024.

Presiden Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim berkata, kejohanan terbuka itu mendapat sambutan yang hangat daripada orang ramai.

“Kita mempunyai sambutan yang agak luar biasa daripada orang ramai, hampir 800 orang yang sudah mendaftar dan pendaftaran masih lagi terbuka. Atlet elit negara seperti Hafiz Zainuddin dan Syafiq Ridhwan juga akan bertanding dalam kejohanan ini.

“Terdapat juga pendaftaran dari kalangan warga asing dari Asia Tenggara, Asia Timur dan Australia untuk bermain dalam kejohanan terbuka ini. Antara nama besar yang akan bertanding ialah pemenang dua kali PBA National, Sam Cooley dari Australia.

“Dengan sambutan yang hangat ini, kami juga dah merancang untuk anjurkan kejohanan ini pada tahun hadapan,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Mohd Noor bersama pihak penaja.

Beliau turut menambah bahawa terdapat sembilan pasukan negeri Sukan Malaysia (Sukma) yang bersetuju untuk bertanding dalam kejohanan ini.

“Wilayah Persekutuan, Sarawak, Sabah, Selangor, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan bersetuju untuk bertanding dalam Terbuka Kuala Lumpur ini.

Sam Cooley antara nama besar yang akan bertanding dalam kejohanan Terbuka Kuala Lumpur

“Ini merupakan sebahagian daripada persediaan atlet tenpin bowling untuk menghadapi Sukan Sukma di Sarawak bulan Ogos ini,” tambahnya lagi.

Terbuka Kuala Lumpur ini mempunyai 30 kategori yang akan dipertandingkan, dengan pemenang akan memenangi jumlah dana hadiah bernilai RM250,000.