PUSINGAN awal bagi lima peringkat Kejohanan Badminton Remaja NCT telah berakhir di Pulau Pinang pada hari Ahad lalu dengan lebih 600 pemain dari wilayah utara semenanjung bersaing selama tiga hari untuk melayakkan diri ke pusingan akhir.

Para pemain perlu berada di kedudukan empat terbaik bagi setiap kategori untuk melayakkan diri ke peringkat akhir yang diadakan di Kuala Lumpur hujung bulan ini.

Seramai lebih 3,000 pemain berusia antara lapan hingga 15 tahun dari seluruh negara telah bertanding dalam 14 kategori dalam kesemua lima pusingan kejohanan dengan empat pemain terbaik layak ke pusingan akhir.

Lim En Yu ada potensi menyinar pada masa depan.

Lim En Yu dari Kedah telah muncul satu-satunya juara berganda dalam pusingan ini apabila berjaya menjuarai saingan perseorangan dan beregu perempuan bawah 11 tahun.

Bekas pemain perseorangan negara, Kwan Yoke Meng turut menyatakan pendapatnya setelah menyaksikan kesemua lima peringkat kejohanan setakat ini.

“Ada pemain yang kuat di setiap wilayah dan setiap negeri, terutamanya di kalangan pemain yang berusia 13 hingga 15 tahun,” kata Kwan.

Kwan Yoke Meng mahu lihat bakat muda badminton terus digali.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak penaja dan kelab-kelab badminton perlu tampil menyediakan sumber untuk membantu menggilap bakat pemain-pemain dalam peringkat umur tersebut untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemenang bagi setiap kategori yang berkelayakan akan diberikan tiket ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik Ogos nanti.

NCT Alliance telah bekerjasama dengan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) untuk melancarkan sebuah inisiatif menarik berbentuk sebuah siri kejohanan badminton di seluruh negara, termasuk kejohanan berprestij iaitu Kejohanan Badminton Remaja ‘Road to NCT’ yang menyasarkan untuk melahirkan juara-juara masa hadapan.