PENGENDALI Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab Aziz berasa lega apabila perancangannya untuk menyerap taktikal permainan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengelak menjadi mangsa belasahan berjaya dilaksanakan barisan pemainnya.

Azzmi menganggap kekalahan 1-3 kepada skuad bimbingan Hector Bidoglio itu bukanlah keputusan yang teruk kerana dia sedar dengan kualiti yang ada pada pemain Harimau Selatan.

“Walaupun kami tewas tapi kami berjaya menyerap segala asakan dengan menutup ruang di posisi sayap kiri dan kanan yang menjadi kekuatan utama JDT menerusi bola hantaran lintang malah beberapa kali mereka gagal untuk membuat `setpiece‘ yang sempurna.

Azzmi Aziz ketika sidang media selepas perlawanan

“Pada babak pertama walaupun kita ketinggalan 0-2 tapi berjaya merapatkan jurang gol malah hampir menyamakan jaringan tetapi pemain gagal menyempurnakannya dan hanya kualiti yang membezakan kami dengan JDT.

“Saya akui agak risau pada awalnya selepas ketinggalan dua gol seawal 17 minit tetapi pemain kekal dengan pelan permainan dan mengekalkan mentaliti yang baik dalam permainan dan sewajarnya saya beri kredit kepada setiap pemain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Azzmi menambah barisan pemain NSFC rata-rata muka baharu dan dalam proses membentuk kemantapan pasukan dan berharap akan mendapat sokongan daripada pihak pengurusan bagi memastikan konsistensi berterusan.

Hein Htet Aung meraikan jaringan keatas JDT

“Kami akan jadi lebih baik jika ada pemain yang boleh bantu Takumi di bahagian tengah tetapi saya faham kelab tidak mempunyai kelebihan kewangan ketika ini tetapi saya gembira dengan apa yang berlaku hari ini.

“Faktor terpenting adalah pemain hormat dan main ‘simple football‘ dan saya percaya pasukan ini akan berkembang lagi selepas ini kerana mereka faham dengan arahan yang diberikan,” jelasnya.

Negeri Sembilan kini akan menumpukan perhatian kepada aksi seterusnya menentang Selangor FC dan Azzmi mahu para pemain mengulangi apa yang disajikan di Iskandar Puteri dibawa pula ke Kelana Jaya.