KUARTET 4×100 meter (m) wanita Amerika Syarikat (AS), merealisasikan hasrat Sha’Carri Richardson untuk menikmati pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris, selepas jaguh pecut wanita itu hanya berpuas hati dengan pingat perak dalam acara 100m wanita, 4 Ogos lalu.

Semalam hari yang ‘gila’ buat pasukan AS, apabila kuartet 4x100m lelaki mereka dibatalkan kerana melakukan kesalahan ketika penukaran baton.

Terdahulu, kuartet 4x100m wanita AS yang terdiri daripada Melissa Jefferson, Twanisha Terry, Gabby Thomas dan Sha’Carri, berlari dengan baik dalam keadaan trek basah akibat hujan, untuk memastikan emas menjadi milik mereka.

Malah mereka berjaya mencipta masa 41.78 saat (s) yang menjadi catatan musim terbaik setakat ini.

Kuartet 4x100m wanita AS, cemerlang meraih pingat emas. – |FOTO AGENCY

Gabby yang menjadi pelari ketiga sudahpun memenagi pingat emas pertamanya dalam acara 200m, Selasa lalu, menyerahkan baton kepada Sha’Carri ketika pasukan AS berada di kedudukan ketiga.

Sha’Carri kemudian memintas pelari terakhir Great Britain, Daryll Neita dan Rebekka Haase (Jerman) hingga muncul yang pertama melintas garisan penamat.

Kesalahan pertukaran baton dilakukan kuartet 4x100m lelaki AS, antara pelari pertama dan kedua. |FOTO AGENCY

Kecemerlangan kuartet wanita mereka gagal diteruskan skuad lelaki yang beraksi tanpa Noah Lyles.

Kegagalan pasukan 4x100m lelaki AS itu bermakna, mereka memanjangkan lagi kemarau emas dalam acara itu kepada 20 tahun.

Larian kuartet yang dibarisi Christian Coleman, Fred Kerley, Kenneth Bednarek dan Kyree King itu  dibatalkan mengikut peraturan TR24.7 iaitu menyerahkan baton di luar zon pertukaran (awal/lambat).

Pertukaran perrtama antara Coleman dan Bednarek tidak berjalan lancar sehingga melepasi zon pertukaran.