SELEPAS lama berteka-teki, akhirnya Kuching City FC kini menggunakan sentuhan jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Sahak bagi menghadapi baki lapan perlawanan dalam Liga Super.

Aidil mengisi kekosongan ditinggalkan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan pengendali berusia 46 tahun ini akan dibantu oleh dua jurulatih tempatan iaitu Firdaus Morshidi dan Zulkarnien Poasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswadi Ali Hassan berkata, Aidil ditawarkan kontrak sehingga penghujung musim ini dengan pilihan sambungan kontrak untuk musim hadapan.

Bagaimanapun, katanya keputusan itu bergantung kepada prestasi yang dipamerkan bagi baki lapan perlawanan itu.

 

“Kita di Kuching City FC cuma bagi KPI bagi Aidil buat yang terbaik untuk pasukan dan sebolehnya-bolehnya untuk kekal di Liga Super pada tahun hadapan.

“Ketika ini kontrak untuk lima bulan dahulu, dengan pilihan untuk lanjutan bagi musim depan bergantung dengan keputusan,” katanya pada sidang media bagi memperkenalkan jurulatih baharu Kuching City FC pada Rabu.

Selepas mengharungi 18 perlawanan, Kuching City hanya mencatat satu kemenangan dan menduduki tangga kedua tercorot liga dengan tujuh mata.