KEPUTUSAN Malaysia Football League (MFL) memperkenalkan waktu sepak mula pada sebelah petang mendapat maklum balas pelbagai daripada pasukan, pemain dan juga para penyokong meskipun ianya bukanlah perkara baharu dalam bola sepak tempatan.
Menjadi pasukan pertama yang bermain perlawanan Liga Super 2023 pada waktu petang, Kuching City FC tidak menganggap itu adalah alasan untuk tidak beraksi dengan baik dan merasa tekanan.
Menurut penolong jurulatihnya, Sulaiman Hussin, para pemain Kuching City sudah bersedia meskipun bermain pada sebelah petang dan mahukan tiga mata penuh dibawa pulang dari kunjungan ke Kota Bharu pada Sabtu.
“Alasan panas tidak boleh digunakan kerana kami berlatih pada sebelah petang hampir setiap hari malah ketika perlawanan pramusim di Kemboja bulan lalu juga kami bermain dua perlawanan pada jam 3.30 petang dalam keadaan cuaca yang sangat panas.
“Kedua-dua pasukan tidak mempunyai kelebihan atau kekurangan tetapi pasukan mana yang cepat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca akan menjadi penentu keputusan perlawanan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Kuching City FC yang kali pertama beraksi di Liga Super pastinya mahu membuktikan kemampuan mereka dan bersedia menjadikan Kelantan FC sebagai mangsa pertama mereka dalam misi mengutip tiga mata dalam aksi di Stadium Sultan Mohammed ke-4.