MENJELANG saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal memulakan saingan hujung Februari ini, Kelantan United FC mendapat tonik berharga apabila menerima tajaan daripada EXA Summerlife Sdn Bhd.
Tajaan tersebut merangkumi wang tunai, peralatan pejabat serta air kotak berjenama Summerfield yang kesemuanya bernilai sebanyak RM390,000.
Majlis tandatangan perjanjian dan penyerahan penajaan disempurnakan Pengarah EXA Summerlife Sdn Bhd, Irwan Firdaus Mohamad kepada Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman.
“Irwan Firdaus adalah penyokong tegar pasukan bola sepak di Kelantan dan beliau bersama EXA Summerlife Sdn Bhd merupakan antara penaja setiap tahun Kelantan United FC sejak musim 2020.
“Atas sebab minat yang mendalam serta komitmen berterusan syarikat EXA Summerlife SDN. BHD. kepada skuad Sang Kijang Hijau, pada musim ini mereka bersetuju menyerahkan tajaan merangkumi wang tunai, peralatan pejabat serta air kotak berjenama Summerfield yang kesemuanya bernilai sebanyak RM390,000,” ujar kenyataan KUFC.
Dalam masa yang sama, Irwan Firdaus bersama ketua pegawai operasi, Wan Muslihin Wan Husin berharap penajaan yang diserahkan mereka dapat membantu meningkatkan prestasi Kelantan United FC serta melancarkan perjalanan kelab yang akan bersaing dalam saingan Liga Super untuk musim 2023.