PENGENDALI Australia Graham Arnold mengakui pasukannya perlu meningkatkan permainan selepas membuka kempen Piala Asia Qatar 2023 dengan kemenangan 2-0 ke atas India.
Selepas dikecewakan pertahanan India dan ketidakmampuan mereka mencipta peluang, gol separuh kedua daripada Jackson Irvine dan Jordan Bos akhirnya memastikan Australia mendapat mata awal dalam Kumpulan B, manakala satu lagi perlawanan kumpulan menyaksikan Uzbekistan dan Syria berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan.
“Kredit harus diberikan kepada India kerana bersungguh-sungguh dalam perjuangan mereka. Mereka bermain bermati-matian. Banyak kali kami mempunyai peluang dalam kotak penalti untuk menjaring gol, mereka menghalangnya.
“Mungkin kami teruja dan tidak sabar untuk pertandingan bermula. Pada separuh masa, kami menunjukkan kepada mereka beberapa aksi menarik,” ujar Arnold.
Bagaimanapun bos Socceroos itu mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan.
“Saya boleh katakan bahawa kami perlu memperbaiki lebih banyak set-piece. Ia mengecewakan, kerana kami banyak berlatih dan disitulah kekuatan kami.
“Kami perlu memberi pujian kepada India, atas usaha mereka melakukan sepakan percuma dan sepakan sudut. Kami tidak mempunyai banyak variasi dan itu adalah sesuatu yang perlu kami perbaiki,” tambahnya.
Sementara itu jurulatih India, Igor Stimac berkata India harus dipersalahkan atas gawang yang dibolosi.
“Kami menjangkakan perlawanan yang sukar dengan fizikal pemain Australia dan serangan dari pelbagai sudut. Kedua-dua gol, bagaimanapun, datang dari kesilapan kami, bukan dari kecemerlangan dan aksi Australia.
“Saya gembira sebagai jurulatih kerana berjaya mengekang Australia pada separuh masa pertama malah mempunyai peluang terbaik pada separuh masa. Tetapi separuh masa kedua tidak bagus. Kami tidak dapat keluar dari zon itu, tidak mampu melakukan hantaran kedua dan melepasi garisan tengah.
“Secara keseluruhan saya gembira, walaupun ianya sukar untuk dikatakan kerana kami kalah kepada Australia dan kami melihat ke hadapan untuk dua perlawanan seterusnya, persaingan kami baru bermula,” ujar Stimac.
India bertemu Uzbekistan pada Khamis dengan Australia menentang Syria.