PERLAWANAN kedua Piala Dunia 2022 bakal menyaksikan antara England menentang Iran.
Mungkin bagi kebanyakan orang, perlawanan ini dianggap biasa, tidak menarik mudah diramal.
Skuad “Three Lions” mara ke separuh akhir pada 2018 sebelum ke final kejohanan Euro 2020 yang dijalankan tahun lalu, dan melepasi kelayakan ke Qatar 2022 dengan perbezaan gol terbaik dalam peringkat kumpulan kelayakan Eropah, menjaringkan 39 dan hanya melepaskan tiga.
Pastinya keyakinan skuad bimbingan Gareth Southgate sangat tinggi dan mampu meneruskan kecemerlangan pada perlawanan menentang Iran dengan tiga mata, apa lagi skuad ini menduduki ranknig kelima dunia.
Namun, perlu sedar bahawa Iran juga mempunyai kempen kelayakan yang mengagumkan, menang lapan daripada 10 perlawanan pada pusingan ketiga kelayakan Asia dan hanya melepaskan empat gol.
Wakil Asia itu juga menduduki ranking ke-20 dunia FIFA, mengatasi Serbia, Maghribi dan Poland.
Di sebalik kehebatan persiapan ke Piala Dunia, pasukan itu menukar ketua jurulatih hanya dua bulan sebelum saingan Piala Dunia, menyaksikan Dragan Skocic dipecat secara mengejut dan digangi Carlos Queiroz yang membawa Mesir ke perlawanan akhir Piala Negara Afrika, awal tahun ini.
Pelantikan Queiroz itu membolehkannya ke Piala Dunia kali keempat berturut-turut sebagai ketua jurulatih, selain dan kali kedua bersama skuad Iran.
Pada perlawanan persahabatan yang dilangsung secara tertutup Rabu lalu, Iran tewas 2-0 kepada Tunisia, tetapi Queiroz optimis perlawanan itu menjadikan pasukannya lebih bersedia menentang England esok.
“Sudah tentu, hasilnya tidak baik. Kami tidak suka melepaskan gol, kami tidak suka kalah tapi ada perkara yang perlu kami perbetulkan.
“Sebelum penalti, kami mempunyai peluang terbaik jaringkan gol namun terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Paling penting ialah kesimpulan yang perlu kami buat untuk lakukan persediaan menghadapi England,” kata Queiroz.
Mengikut statistik, Iran adalah salah satu daripada 20 pasukan yang beraksi pada dua Piala Dunia lalu, (2014 dan 2018), melakukan cubaan paling sedikit (47), cubaan tepat ke sasaran paling sedikit (10) dan menjaringkan gol paling sedikit (3) di peringkat kumpulan, itupun setelah digabung dua edisi kejohanan.
Sementara itu, Eric Dier dari England tidak bimbang tentang suhu tinggi di Qatar walaupun permainan bermula pada pukul 4 petang waktu tempatan.
“Saya tidak tahu apa kesannya. Saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini, jadi ia akan menjadi pengalaman pertama.
“Biasanya, Piala Dunia dimainkan pada musim panas. Di Rusia (2018) ia panas. Saya tidak berada di sana tetapi semasa Euro di England, juga panas, jadi saya fikir kami sudah bersedia untuk itu dan kami bermain dalam keadaan yang sama seperti lawan kami, jadi ia adalah adil untuk semua orang,” kata Dier.
England adalah satu-satunya pasukan Eropah yang mara ke separuh akhir dalam setiap dua kejohanan besar terakhir, dan berharap dapat memulakan aksi dengan prestasi hebat di Stadium Antarabangsa Khalifa.
PEMAIN PERLU DIBERI PERHATIAN
England: Harry Kane
Kapten England ini memainkan peranan penting dalam dua penampilan terakhir mereka di Piala Dunia dan Kejohanan Eropah, memenangi but emas pada Piala Dunia FIFA 2018, apabila lima daripada enam golnya di Rusia dijaringkan di peringkat kumpulan.
Kane juga menjadi penjaring terbanyak bersama dalam kelayakan Eropah untuk Piala Dunia ini iaitu 12 gol, bersama Memphis Depay.
Iran: Mehdi Taremi
Semua pasti bersetuju jika dikatakan England harus berwaspada dengan Sardar Azmoun, yang sudah menjaringkan 40 gol daripada 63 perlawanan untuk negaranya setakat ini, meskipun dia tidak banyakk beraksi di peringkat kelab. Ketajaman penyudahnya bersama Bayer Leverkusen boleh diragui sejak menyertai kelab itu Januari lalu.
Begitupun, rakan senegaranya, Mehdi Taremi menjaringkan 13 gol dalam 19 perlawanan untuk Porto musim ini, termasuk lima dalam Liga Juara-Juara. Namun jika dihitung sumbangannya bermain di Liga Primeira Portugal sejak 2019-20, penyerang Iran itu telah menjaringkan 60 gol dalam 109 perlawanan sepanjang mewakili Rio Ave dan Porto, 16 gol lebih banyak daripada pemain lain dalam liga itu sepanjang tempohyang sama.
Walaupun hanya bermain enam kali, tiada pemain Iran yang terlibat dalam lebih banyak gol pada pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia Asia berbanding Taremi (empat gol, dua assist).
RAMALAN
Walaupun Iran mungkin lebih kuat daripada jangkaan ramai, England tetap menjadi pilihan yang utama memenangi perlawanan.
Menurut model ramalan superkomputer “theanalyst.com”, Three Lions mempunyai peluang 72.2% untuk dibuka dengan kemenangan, manakala seri pada 18.1%.
Ia akan menjadi detik paling diingati sekiranya Iran melakukan kejutan, tetapi anak didik Queiroz hanya mempunyai 9.7 peratus peluang untuk menang.