GARETH Bale menyelamatkan Wales di lewat permainan dalam aksi yang sememangnya dijangka sengit pada pertemuan kumpulan B menentang Amerika Syarikat (AS).

Bale memuji prestasi ditunjukkan rakan sepasukannya yang melakukan kebangkitan selepas aksi hambar di babak pertama, sehingga berjaya mengikat AS 1-1 pada perlawanan Piala Dunia pertama mereka sejak 64 tahun.

AS mendahului menerusi Timothy Weah pada awal babak pertama, namun Wales sekali lagi bergantung harap kepada Bale untuk menyelamatkan kedudukan menerusi sepakan penalti ketika saingan berbaki lapan minit.

AS mempamerkan permainan yang cukup baik pada perlawanan pertama menentang Wales.

“Jujurnya bukan babak pertama yang baik, mereka bermain dengan baik dan kami pula sebaliknya.

“Kata-kata yang hebat daripada penjaga gol pada rehat babak pertama dan pemain terus berjuang serta bersaing seperti mana kami sering lakukan.

“Kami menunjukkan semula karakter seperti di EURO 2020 dan mengulanginya,” kata Bale.

Jaringan Gareth Bale pada minit ke-82, menyelamatkan Wales dari kekalahan.

Pengurus Wales, Rob Page berharap pasukannya mampu ulangi permulaan yang hampir sama dengan EURO 2020 ketika mereka berada di tempat kedua kumpulan selepas memulakan kempen dengan keputusan 1-1 ketika berdepan Switzerland.

“Untuk bangkit selepas ketinggalan satu gol menentang pasukan sangat bagus seperti AS, bagi kami ia hampir sama seperti EURO.

ARTIKEL BERKAITAN : Kump B : Amerika Syarikat sekadar seri bertemu Wales aksi pembukaan

“Kami menunjukkan karakter dan kesungguhan. Adalah penting memulakan kejohanan untuk tidak tewas, jadi kredit kepada pemain,” kata Page.

Wales selepas ini dijadual bertemu Iran, pasukan yang tewas 2-6 oleh England.