JURULATIH Argentina Argentina Lionel Scaloni gembira dengan kejayaan skuadnya layak ke peringkat 16 terbaik namun ianya bagaikan satu kegilaan untuk pasukannya apabila akan kembali bersaing bertemu Australia dalam tempoh dua hari.
Skuad Amerika Selatan itu menewaskan Poland 2-0 pada Rabu untuk menduduki tangga teratas Kumpulan C mengatasi Poland, Mexico dan Arab Saudi.
Dia turut memuji barisan pemainnya yang berjaya mengekang asakan Poland dan pada masa yang sama juga mahu para pemainnya berhati-hati apabila berhadapan Australia di pusingan kalah mati.
The Argentina dream lives on 🇦🇷#FIFAWorldCup #Qatar2022 pic.twitter.com/j1bcuTv70H
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) November 30, 2022
“Saya rasakan ianya gila untuk bermain semula selepas hanya dua hari terutama apabila kami menjadi juara kumpulan, saya tidak memahaminya. Begitu juga Australia yang hanya mempunyai kelebihan beberapa jam sahaja kerana perlawanan mereka berakhir lebih awal.
“Lihat jam anda sekarang jam berapa. Hampir satu pagi Khamis. Esok adalah hari persiapan dan kemudiannya kami bermain semula. Ianya bukan keadaan yang baik buat para pemain dan seharusnya sebagai juara kumpulan kami mendapat lebih rehat.
“Penyokong kami harus meraikan kemenangan ini. Kami gembira hari ini tetapi kami tidak mahu terlalu gembira kerana semua perlawanan adalah sukar dan salah bagi sesiapa yang mengatakan bertemu Australia adalah mudah.
“Kami bukanlah pasukan pilihan. Jika anda rasakan sebegitu hanya kerana kami menang hari ini dan bakal menjadi juara Piala Dunia, anda salah,” katanya kepada media selepas perlawanan di Stadium 974.
Scaloni turut gembira kerana para pemainnya dapat menyekat gerakan ayam tambatan Poland, Robert Lewandowski serta serangan balas bahaya pasukan lawan itu.
“Kami berjaya menghalang mereka daripada melakukan serangan balas dan saya harus puji pemain saya. Kami berjaya membaca permainan dengan baik dan mereka beraksi dengan baik. Saya sangat gembira,” katanya.
Argentina bakal bertemu Australia pada peringkat 16 terbaik di Stadium Ahmad Bin Ali dengan Argentina pastinya mahu mencatat kemenangan seterusnya layak ke suku akhir dan mencerahkan peluang mereka ke final dan bergelar juara.