PENGENDALI Arab Saudi Hervé Renard sedar bahawa kekalahan kepada Mexico 1-2 pada aksi ketiga peringkat kumpulan Piala Dunia adalah realistik ekoran persembahan yang kurang memuaskan ditunjukkan oleh barisan pemainnya.
Skuad The Green Falcons gagal mempamerkan persembahan yang mengujakan untuk sekurang-kurangnya berhak memperolehi kemenangan untuk layak ke pusingan 16 terbaik.
Renard memberikan penghargaan kepada penjaga gawangnya Mohammed Al-Owais, yang dianggap sebagai wira selepas menyelamatkan mereka daripada kekalahan yang lebih teruk serta mengucapkan tahniah kepada para pemainnya atas usaha di kejohanan ini yang hampir menyamai rekod mereka pada temasya 1994.
A #FIFAWorldCup moment that will be remembered forever 💚🇸🇦 pic.twitter.com/ui32OfQNwH
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) November 30, 2022
“Saya sudah mencuba sedaya upaya untuk menggalakkan para pemain tetapi apa yang berlaku ketika menentang Mexico adalah pemain dilihat sukar untuk bermain secara pantas dan garang namun Owais banyak menyelamatkan kami dari keputusan yang lebih buruk.
“Ketiadaan beberapa pemain utama akibat kecederaan juga menjadi punca persembahan yang lebih longlai berbanding ketika kami turun menentang Argentina dan Poland.
“Kami perlu menyesuaikan diri dengan situasi dan bertemu Mexico kami tidak bermain dengan baik kecuali pada beberapa minit terakhir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Renard yang masih mempunyai kontrak bersama skuad kebangsaan Arab Saudi kini bakal mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan Piala Asia pada awal 2024 sebelum kelayakan Piala Dunia 2026.
“Kami akan melakukan persediaan untuk pasukan kebangsaan menghadapi pusingan akhir Piala Asia sebelum kelayakan Piala Dunia 2026, kesemuanya bakal bermula pada 2024,” tambahnya.
Kekalahan kepada Mexico itu meletakkan skuad Arab Saudi di tangga terbawah Kumpulan C dengan tiga mata hasil kemenangan bersejarah ke atas Argentina pada perlawanan pembukaan.