DIDIER Deschamps pastinya individu paling tidak gembira biarpun menjadi pengurus pertama membawa pasukan mara ke pusingan kalah mati di Qatar 2022.

Dengan situasi Perancis sudah sah ke pusingan 16 terbaik, ketua jurulatih itu merombak pasukan ketika menghadapi Tunisia pada perlawanan terakhir kumpulan D yang berakhir dengan kekalahan menimpa juara bertahan itu.

Deschamps membuat sembilan perubahan terhadap skuad diturunkan ketika menentang Denmark dengan Kylian Mbappe antara pemain direhatkan dan hanya kapten, Raphael Varane dan Aurelien Tchouameni mengekalkan tempat mereka.

Segalanya kelihatan serba tidak kena dan Les Bleus bagai tiada struktur di setiap posisi.

Begitupun, jurulatih Perancis itu mempertahankan keputusannya mengubah hampir keseluruhan barisan utamanya dan dia mengakui dia mahu pemain cergas menjelang aksi kalah mati.

Juara bertahan itu menjadi pasukan pertama di Qatar memastikan tempat ke kelompok 16 terakhir selepas menang dua perlawanan pertama Kumpulan D menentang Australia dan Denmark.

Deschamps merehatkan pemain tonggak termasuk Kylian Mbappe bagi memastikan Perancis mempunyai pasukan terkuat di pusingan kalah mati.

 

Ini bermakna mereka boleh tewas kepada Tunisia di Stadium Education City dan mengetuai kumpulan, malah hal itu menjadi kenyataan biarpun Les Bleus kalah 1-0 tetapi masih mendahului kumpulan berdasarkan perbezaan gol berbanding Australia.

“Mereka akan belajar daripada ini. Tunisia mengambil kesempatan ketika kita leka, lambat membuat cabaran dan melakukan terlalu banyak kesilapan walaupun kita lebih baik pada penghujung selepas kemasukan pemain berpengalaman.

“Keputusan itu bermakna kami belum menemui objektif sebenar tetapi perkara paling penting ialah berada dalam kelompok 16 terakhir,” kata Deschamps mengenai pemain yang direhatkan termasuk Axel Disasi di pertahanan kanan.

Antara yang direhatkan termasuk pertahanan Barcelona, Jules Kounde, yang ada satu kad kuning dan berisiko dikenakan penggantungan jika sekali lagi menerimanya.

Deschamps juga mendedahkan bahawa Marcus Thuram pada mulanya akan dimasukkan sebelum masalah minit akhir memaksanya mengubah perancangan beberapa jam sebelum perlawanan. – AFP