JEPUN tidak akan takut kepada Jerman apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia kumpulan E, 9 malam Selasa.
Penyerangnya Takuma Asano berkata, meskipun sedar ujian getir bakal mereka hadapi ketika berdepan pasukan itu namun mereka mesti mendapat keputusan baik pada perlawanan pertama ini.
Melihatkan tuan rumah Qatar tewas 0-2 diikuti Iran dibelasah 2-6 oleh England, Asano memberi jaminan pasukannya tidak akan berada dalam posisi itu.
Penyerang prolifik Samurai Biru itu menegaskan “tiada apa yang perlu ditakuti”.
“Pastinya ada perbezaan tahap pasukan Asia berbanding Eropah dan Amerika Selatan, dan kami masih belum berada di sana lagi.
“Tetapi anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku pada kejohanan seperti ini. Anda perlukan banyak kualiti seperti teknik dan taktik tetapi pemain senior terus memberitahu saya bahawa perkara yang anda perlukan apabila dalam situasi penting ialah menjadi pasukan yang benar-benar menginginkannya,” kata penyerang Bochum itu.
Jepun mempunyai lapan pemain di kelab Bundesliga dalam skuad mereka dan menegaskan mereka tidak akan merendah diri apabila mereka turun ke padang, di Doha.
Pemain pertahanan Takehiro Tomiyasu, yang bermain dalam Liga Perdana bersama Arsenal berkata, Jepun perlu bersikap pragmatik tetapi mengakui keutamaan mereka bukan untuk melepaskan gol.
“Saya rasa kita tidak perlu terlalu menghormati pasukan lawan. Sudah tentu kami perlu realistik dalam masa sama sesuaikan dengan situasi dalam perlawanan,” kata Tomiyasu.
Selain Jerman, Jepun juga sekumpulan dengan Costa Rica dan Sepanyol dalam Kumpulan E yang boleh dianggap kumpulan maut.
Juara Asia empat kali itu tidak pernah pergi lebih jauh daripada pusingan kedua di Piala Dunia tetapi penyerang Takumi Minamino tidak gentar dengan kualiti lawan di Qatar.
“Kebanyakan pemain Jepun bermain di luar negara dan kami bersaing dengan pemain dari seluruh dunia,” kata bekas pemain Liverpool itu, yang kini berada di Monaco.