JERMAN tersingkir seawal peringkat kumpulan buat kali kedua berturut turut di Piala Dunia meskipun meraih kemenangan 4-2 ke atas Costa Rica.

Mereka tersingkir selepas sekadar menghuni tangga ketiga kumpulan E, susulan kemenangan 2-1 Jepun ke atas Sepanyol.

Berdepan Costa Rica tidak mudah buat Jerman apabila pasukan lawan meletakkan lima pemain pertahanan namun Jerman masih berjaya mencari jalan untuk mendapatkan gol seawal minit ke-10 selepas hantaran lintang David Raum ditanduk masuk Serge Gnabry.

Thomas Mueller dan Antonio Ruediger menenangkan antara satu sama lain selepas Jerman tersingkir daripada Piala Dunia. – REUTERS

Begitupun mereka alpa sebaik mengetahui Jepun mendahului Sepanyol dalam satu lagi aksi kumpulan, sehingga membenarkan Costa Rica meledak dua gol menerusi Yeltsin Tejeda dan Juan Pablo Vargas.

Bagaimanapun, Kai Havertz meledak dua gol selepas dimasukkan dari bangku simpanan untuk mengesahkan tiga mata buat Jerman sebelum Niclas Fuellkrug menambah gol keempat buat skuad itu.

Namun kemenangan itu tidak cukup untuk memimpin Jepun ke pusingan kalah mati apabila ketinggalan dari segi perbezaan jaringan dengan Sepanyol.

Sepanyol mengiringi Jepun yang muncul juara kumpulan, meneruskan cabaran di peringkat 16 pasukan terbaik.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Jerman tersingkir di pusingan pertama selepas edisi 2018 di Russia.

Ketika itu, mereka menduduki tangga tercorot kumpulan F, selepas tewas mengejut kepada Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan yang menyasikan kedua-dua pasukan tersingkir.