HASRAT generasi emas Belgium untuk muncul juara dunia tidak kesampaian apabila tersingkir daripada kejohanan selepas terikat tanpa jaringan menentang Croatia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia Qatar 2022.

Keputusan seri itu menyaksikan Croatia, naib juara edisi 2018 layak ke peringkat 16 terbaik mengiringi Maghribi yang muncul juara kumpulan selepas menewaskan Kanada 2-1 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung serentak.

Turun tanpa diberikan sebarang peluang dan tekanan, Maghribi mendahului seawal minit keempat menerusi Hakim Ziyech sebelum Youssef El Nesyri menggandakan kedudukan berselang 20 minit dan gol sendiri teman sepasukan memberikan gol saguhati buat Kanada yang sudah pun tersingkir.

 

Belgium yang diletakkan antara pasukan pilihan mengakhiri kempen dengan keputusan yang sangat memalukan apabila hanya berjaya menjaringkan satu gol dan kelihatan tidak teratur sebagai satu pasukan.

Kemasukan Romelu Lukaku sedikit menambah sengat bahagian serangan Belgium namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila beberapa peluang terhidang gagal disempurkan dan akhirnya tersingkir dari Piala Dunia.

Croatia pula berjaya mengelakkan kekalahan dari tiga perlawanan kumpulan dengan satu kemenangan dan dua seri dengan kejayaan membenam Kanada 4-1 adalah titik tertinggi mereka setakat ini pada kejohanan ini.

 

Kanada terpaksa menerima hakikat mereka masih belum cukup bagus untuk bersaing di peringkat tertinggi ini namun ianya adalah pengalaman yang baik buat mereka menjelang kejohanan edisi 2026 yang bakal berlangsung di laman mereka sendiri.

Maghribi dan Croatia kini menunggu juara dan naib juara Kumpulan E sama ada Sepanyol, Jepun, Costa Rica atau Jerman dengan keempat-empat pasukan masih mampu muncul dua pasukan terbaik.