SWITZERLAND mengatasi Serbia 3-2 pada aksi terakhir Kumpulan G Piala Dunia 2022, untuk mara ke pusingan 16 terakhir buat kali ketiga berturut-turut.

Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga kedua kumpulan, mengumpul enam mata bersama pendahulu, Brazil namun dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Tegang… situasi tegang melibatkan Xherdan Shaqiri dengan pemain Serbia.

Justeru, Switzerland akan bertemu Portugal bagi merebut tempat ke suku akhir.

Switzerland garang sebaik wisel dibunyikan dan mendahului permainan menerusi rembatan Xherdan Shaqiri pada minit ke-20, menjadikan pemain sayap itu sebagai pemain pertama dari negaranya menjaringkan gol di tiga edisi Piala Dunia.

Xherdan Shaqiri meraikan jaringan ketika Switzerland menewaskan Serbia 3-2.

Kegembiraan itu hanya bertahan enam minit apabila Serbia, yang perlu menang untuk layak ke pusingan seterusnya, meledak dua kali menerusi Aleksandar Mitrovic dan Dusan Vlahovic.

Bagaimanapun Switzerland bangkit menerusi dua gol hasil jaringan Breel Embolo dan Remo Freuler sebelum dan selepas rehat untuk terus kekal di Qatar, manakala Serbia tersingkir. – REUTERS