JARINGAN pembukaan Portugal dianggap milik Cristiano Ronaldo sedangkan hakikatnya ia dihasilkan sendiri oleh Bruno Fernandes !

Detik menarik itu terjadi semasa pertembungan Portugal dan Uruguay yang berlangsung di Stadium Lusail, pada perlawanan kedua Kumpulan H Piala Dunia 2022, awal pagi Selasa tadi.

Selecao das Quinas menang 2-0 menerusi dua gol oleh Bruno Fernandes.

Gol pembukaan Portugal berlaku pada minit ke-54. Bruno Fernandes melakukan hantaran ke depan kotak penalti, Ronaldo kemudian melompat untuk menanduk, tetapi langsung tidak terkena dan bola terus menerjah ke gawang.

Usaha Cristiano Ronaldo menanduk bola dari umpan Bruno Fernandes.

Ronaldo kemudiannya meraikannya seolah-olah itu miliknya dan skrin juga sempat menulis gol yang dijaringkan oleh kapten Portugal itu. Bagaimanapun, juruhebah di stadium berkata gol itu milik Bruno Fernandes dan ulang tayang mengesahkan bola itu tidak menyentuh kepala Ronaldo.

Akaun Twitter rasmi untuk Piala Dunia juga menyebut bahawa gol daripada Ronaldo. Tweet susulan kemudian muncul yang mengemaskini gol dijaringkan oleh Bruno Fernandes.

Ronaldo kemudiannya digantikan oleh Goncalo Ramos pada minit ke-82. Pada masa kecederaan, Portugal dihadiahkan penalti.

Oleh sebab Ronaldo tidak lagi berada di padang, Bruno Fernandes melangkah ke hadapan sebagai penendang. Pemain tengah Manchester United itu membawa negaranya menang 2-0.

Ronaldo sebenarnya masih kelihatan gembira selepas perlawanan. Keputusan ini membawa Portugal melakar tiket ke pusingan 16, walaupun masih ada satu lagi dalam fasa kumpulan.

“Kami berada di peringkat 16 terakhir Piala Dunia! Syabas, pasukan! Menentang lawan yang mempunyai pencapaian hebat, kami mengesahkan kekuatan dan kualiti kami. Mari teruskan! Kami berjuang dan impian kami masih hidup!” Ronaldo menulis di akaun Instagram peribadinya.

Sementara itu, Bruno Fernandes membuka mulut mengenai Cristiano Ronaldo yang meraikan gol yang dijaringkannya.

Fernandes berkata Ronaldo layak meraikan golnya. Malah Fernandes mengakui bahawa dia juga mengadakan sambutan untuk rakan sepasukan, sebelum FIFA memutuskan dia adalah penjaring.

“Saya meraikan seolah-olah ia milik Cristiano, saya fikir ia adalah miliknya. Dia seorang penyerang dan, seperti André Silva, gol lebih bermakna untuk pemain sepertinya,” kata Bruno Fernandes selepas perlawanan dipetik dari Ojogo.

Menurutnya, perkara paling penting ialah kebersamaan berpasukan adalah kunci kepada setiap kemenangan dalam sesuatu perlawanan.

“Dedikasi dan kerja berpasukan yang membuatkan kami mendapat keputusan seperti ini,” katanya.