COSTA RICA memadam mimpi ngeri tewas 0-7 pada perlawanan pembukaan Kumpulan E apabila bangkit meraih kemenangan sulung dalam kempen Piala Dunia FIFA Qatar 2022 menewaskan Jepun 1-0.
Sementara itu, Jepun yang berjaya mengejutkan Jerman sebelum ini nyata tidak dapat meneruskan rentak cemerlang meskipun menguasai keseluruhan permainan.
Keysher Fuller muncul wira Costa Rica apabila jaringannya pada minit ke-81 berjaya memberikan tiga mata penuh sekaligus menyekat hajat Jepun untuk layak lebih awal ke pusingan 16 terbaik.
Costa Rica break through to beat Japan!@adidasfootball | #FIFAWorldCup
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) November 27, 2022
Beraksi dalam cuaca panas di Stadium Ahmad Bin Ali jelas menjejaskan sedikit aksi kedua-dua pasukan apabila tidak banyak peluang jaringan dapat dihasilkan terutama pada babak pertama.
Jepun lebih banyak mengasak pada babak kedua namun Costa Rica berjaya menjaringkan gol dan bertahan dengan baik menahan asakan sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini membuka semula peluang Costa Rica untuk layak ke peringkat seterusnya sementara Jepun perlu menunggu aksi bertemu Sepanyol pada Jumaat untuk menentukan nasib mereka di kejohanan ini.