PEMAIN naturalisasi negara, Endrick Dos Santos tidak merasakan dirinya tidak cergas meskipun sudah agak lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif dan dia bersedia untuk bersaing merebut tempat dalam skuad Pestabola Merdeka.
Endrick yang dipinjamkan ke pasukan Ho Chi Minh FC di Liga Vietnam tidak mempunyai perlawanan kompetitif kerana saingan liga masih belum bermula namun dia yakin latihan yang diterima di kelab asalnya, Johor Darul Ta’zim mencukupi untuk dirinya kekal cergas untuk bermain.
Dia juga gembira kembali berlatih bersama pasukan kebangsaan dan melihat kualiti yang ada pada skuad yang dipilih pengendali baharu, Pau Marti Vicente, dia yakin Malaysia mampu meraih kejuaraan kali ini.
“Semua dalam keadaan baik dan kami gembira untuk mewakili negara dalam kejohanan yang penting ini dengan semua pemain bersedia untuk meraih kemenangan.
“Pau Marti mempunyai idea yang sama dengan Kim Pan-gon tetapi sebagai pemain kami bersedia untuk mengadaptasi dengan apa jua taktikal yang bakal dimainkan dan tidak perlu membandingkan kedua-dua mereka.
“Walaupun liga belum bermula, saya tidak rasakan saya belum bersedia kerana minggu lalu saya bermain dalam dua perlawanan persahabatan dan saya menjalani latihan berintensiti tinggi ketika di JDT dan ianya cukup untuk berikan kecergasan perlawanan buat saya,” katanya ketika sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya.
Dia yang mempunyai 10 kaps dengan skuad kebangsaan itu juga mengakui kesemua pemain membawa mentaliti yang baik dan mahu menang dalam setiap perlawanan dan berharap dapat membawa pulang trofi kali ini selepas kecewa bergelar naib juara tahun lalu.
“Kami hadir ke sini dengan mentaliti yang sentiasa inginkan kemenangan. Kami mahu menang sesiapa pun dan persaingan dalam pasukan ini sangat baik dengan kehadiran ramai pemain terbaik dalam skuad ini.
“Tidak banyak yang kami tahu tentang Filipina tetapi fokus sekarang hanya kepada pasukan dan kami lakukannya dengan baik dan berharap para penyokong boleh hadir ke stadium beramai-ramai kerana Bukit Jalil adalah kubu kuat kami dan mahu berikan kemenangan buat rakyat Malaysia,” ujarnya.
Endrick dan rakan-rakan sepasukan akan memulakan kempen Pestabola Merdeka menentang Filipina pada 4 September 2024 dengan pemenang akan layak ke final untuk bertemu satu lagi pemenang sama ada Tajikistan atau Lubnan pada 8 September 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.