PENOLONG jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag menyifatkan kegagalan pasukan KDA FC mengutip tiga mata penuh pada perlawanan menentang PJ City FC berpunca daripada anak buahnya yang hilang fokus pada minit- minit terakhir perlawanan.
Victor juga berpendapat mereka bukan berada pada prestasi sebenar dalam empat perlawanan kebelakangan ini.
Bagaimanapun, dia akan membuat analisis yang lebih jitu dan memerlukan pemain-pemain memiliki karakter untuk bangkit semula.
“Kurang fokus dan komunikasi pada minit-minit terakhir menyebabkan kita tewas.
“Hari ini, kita rasa macam bukan aksi yang sebenar dalam tiga empat perlawanan ini.
“Pra-musim kita bermula bagus, setiap perlawanan, kita akan buat analisis untuk mencari solusi.
“Kita perlukan beberapa karakter untuk kembali bangkit,” ujarnya.
Sementara itu, penyerang PJ City FC, Khyril Muhymeen berkata kejayaan mengikat KDA FC adalah kerana semangat sepasukan serta sumbangan pemain pada separuh masa pertama sambil menambah dia hanya membantu setelah kemasukannya pada separuh masa kedua.
Lebih manis lagi, hari tersebut merupakan hari kelahirannya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada keluarga dan semua yang mendoakan kesejahteraannya.
Untuk perlawanan seterusnya, dia optimis pasukan berada di landasan yang betul namun perlu mengurangkan kesilapan individu serta perlu menajamkan bahagian serangan meskipun hanya dibarisi pemain tempatan.
“Semuanya adalah dari semangat berpasukan, sumbangan mereka dari separuh masa pertama.
“Saya hanya membantu mana-mana yang patut.
“Hari ini hari kelahiran saya , itu doa bagi saya, terima kasih kepada family doakan saya.
“Saya tetap percaya dengan rakan pasukan, saya tidak risau dengan keupayaan pemain sebab kami di landasan yang betul cuma kami kena kurangkan kesilapan individu.
“Bahagian serangan perlu menjaringkan gol walaupun kami dibarisi pemain tempatan namun semangat juang tinggi yang diperlukan,” jelas Khyril.