KURANG sesaat sahaja dari catatan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024, ratu trek negara, Shereen Samson Vallabouy optimis mampu merealisasikan hasrat layak secara merit ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Pemilik rekod kebangsaan acara 400 meter (m) wanita itu bagaimanapun, mengakui perlu mengatasi kelemahan yang ada pada lariannya terlebih dahulu.
Ketika ini pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou dengan masa 52.58 saat (s) itu berkata, hanya kurang dari satu saat saja lagi untuk dia layak ke Paris.
“Jarak masa untuk layak tak jauh dan jika saya memperbaiki larian dan mempertingkatkan ketahanan, saya boleh sampai ke tahap itu dan yang lain biar Tuhan tentukan.
“Saya masih ada masa yang mana tarikh akhir untuk layak ke Olimpik adalah pada 30 Jun,” katanya.
Ketika ini Shereen merekodkan masa terbaik peribadinya 51.80s yang juga rekod kebangsaan, hanya kurang 0.85s untuk melepasi catatan masa 50.95s iaitu masa kelayakan secara merit.
Justeru, antara faktor yang bakal menentukan peluangnya adalah pertandingan yang akan disertai.
Menurut Shereen, dia menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih untuk menentukan kejohanan akan datang.
“Ketika ini ‘off season’ dan saya akan mula sertai pertandingan pada penghujung Februari ini dan jika semua urusan visa berjalan dengan lancar saya akan mula bertanding di AS.
“Saya akan cuba yang terbaik untuk mencapai misi layak ke Olimpik kerana itu adalah impian semua pelari,” katanya.
Ratu trek negarayang berusia 25 tahun itu, memegang tiga rekod kebangsaan iaitu dalam acara 400m (51.80s), 200m (23.33s) dan 400m dalam dewan yang pertama dalam sejarah (53.79s).