SUKAN bola jaring sinonim dengan pemain-pemain yang memiliki ketinggian lebih dari purata wanita biasa kerana ia akan memberikan kelebihan terutama kepada mereka yang bermain di posisi serangan.
Bagi pemain yang sedikit rendah, peluang mereka untuk menjaringkan mata dilihat sedikit sukar kerana tiang gol standard bola jaring adalah 3.05 meter.
Namun perkara ini tidak menjadi masalah buat Goal Shooter (GS) Selangor Angels, Siti Aminah Ahmad yang bersahaja menjaringkan mata demi mata meskipun hanya berketinggian wanita biasa.
Pemain yang mesra disapa Min itu memiliki ketinggian 1.66 meter, rendah jika dibandingkan dengan GS yang lain namun dia adalah antara tonggak utama buat Selangor Angels dalam aksi Netball Super League (NSL) 2022.
Ibu kepada dua anak itu berkata latihan bersama rakan-rakan pertahanan yang tinggi banyak membantu beliau untuk membaling lebih tinggi sekaligus memudahkan tugasannya di dalam gelanggang.
Aminah yang baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-28 memikul tugasan berat apabila mengambil tempat An Najwa yang berhijrah ke Johor Jewels namun dia menganggap ianya sebagai cabaran dan disokong oleh rakan-rakan sepasukan.
“Latihan bersama pemain pertahanan yang tinggi banyak membantu saya melakukan jaringan. Mereka sering menyuruh saya membaling lebih tinggi dan ini memudahkan tugas saya di gelanggang apabila berhadapan lawan yang lebih tinggi.
“Saya tidak rasa terbeban mengambil tugas An Najwa sebaliknya saya menganggapnya sebagai cabaran dan ianya peluang buat saya menunjukkan kemampuan saya dan saya beruntung kerana mendapat sokongan daripada rakan-rakan sepasukan,” jelas beliau ketika temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.
Turut bersama-sama Aminah dalam temubual eksklusif itu adalah kapten pasukan, Yati Akhtar yang nyata gembira dengan aksi mereka sepasukan dan yakin mampu mengatasi pencapaian Selangor Angels pada musim lepas.
“Pada awalnya kami meletakkan sasaran sekurang-kurangnya untuk menyamai pencapaian musim lepas di tempat ketiga. Namun selepas empat perlawanan, saya yakin kami mampu untuk beraksi di final,” kata pemain yang meminati karaoke ketika masa senggangnya.
Selepas empat perlawanan, Angels berjaya mencatat tiga kemenangan dan kini mengejar KL Wildcats dan Johor Jewels yang berkongsi mata di tangga teratas NSL 2022.