PEMAIN remaja negara, jauh ketinggalan dari Australia dan hal itu jelas terpampang dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, petang Selasa apabila skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim tewas 1-4.
Ketua jurulatih kuad remaja kebangsaan itu berkata, faktor utama skuad negara terkebelakang adalah tiada pendedahan di pentas antarabangsa, apabila hanya empat daripada 18 pemain dalam skuad yang membawa cabaran ke Piala Sultan Johor (SOJC) itu, pernah memiliki cap antarabangsa.
“Memang kita jauh ketinggalan dari Australia, kerana hampir keseluruhan pemain saya hanya berpengalaman dalam aksi liga remaja, Sukan Malaysia (Sukma) dan Piala Tun Razak.
“Begitupun, saya nampak ada peningkatan dari suku pertama hingga suku keempat dan akhirnya mereka mendapat rentak bagaimana permainan di peringkat antarabangsa,” katanya, sejurus selepas tamat perlawanan antara skuad remaja kebangsaan dengan Kookaburras.
Pada perlawanan itu, skuad negara dibolisi empat kali, masing-masing dua gol di suku pertama, satu gol di suku kedua dan satu lagi gol Kookaburras dijaringkan pada suku keempat, semuanya menerusi pukulan sudut penalti.
Gol saguhati skuad negara pula diperoleh menerusi gol padang dijaringkan Muhammad Hazreeq Alief Rosli, pada minit ke-55.
“Kelemahan paling ketara tentunya di bahagian pertahanan apabila lawan menjaringkan semua gol melalui pukulan sudut penalty. Jadi, saya akan tonton semula rakaman perlawanan untuk melihat bagaimana pemain kita menganugerahkan pukulan sudut penalti, agar tidak berulang pada perlawanan akan datang. Ketika bertahan, bukan hanya pemain pertahanan perlu berkerja, pemain tengah dan penyerang juga bertanggungjawab mempertahan kawasan sendiri.
“Ketika menyerang juga, kita memperoleh beberapa peluang menjaringkan gol pada suku ketiga dan keempat. Jadi saya mahu pemain lebih tenang sebelum membuat keputusan tepat ketika melakukan jaringan,” kata Amin lagi.
Skuad remaja negara akan bertolak ke Johor Bahru pukul 10 pagi Rabu bagi menghadapi saingan Piala Sultan Johor yang akan bermula 22 hingga 29 Oktober.
Skuad bimbingan Amin akan berdepan satu lagi ujian pemanas badan, menentang Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya aksi sebenar bermula.
“Great Britain baik pasukan senior dan remaja, mereka lebih fizikal dankeras, namun mereka tidak menggunakan skil sebagaimana corak permainan pasukan Asia,” kata jurulatih itu.
Pada perlawanan menentang Australia, Muhammad Danish Danial Abdul Wahab mengalami kecederaan dipercayai hamstring, dan situasinya akan dipantau Amin sebelum memutuskan untuk memasukkan pemain baharu sebagai ganti.
Selain Malaysia, Australia, Great Britain, Jepun, Afrika Selatan dan India bersaing merebut Piala Sultan Johor edisi 2022.