KEJAYAAN pasukan Indonesia bawah 22 tahun (B-22) muncul sebagai pemenang pingat emas acara sukan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 menjadi satu kepuasan yang tak terhingga buat Kurniawan Dwi Yulianto.
Selain menyaksikan skuad Sang Garuda menamatkan penantian 32 tahun, Kemboja akhirnya menjadi bumi yang berjaya melunaskan ‘hutang’ buat pembantu jurulatih kelab Serie B, Como 1907 ini.
Selepas pasukan Indonesia buat kali terakhir muncul sebagai pemenang pingat emas pada Sukan SEA 1991 Manila dengan menewaskan Thailand 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, mereka dilihat bergelut untuk mencari rentak sang juara sepanjang edisi sukan Asia Tenggara sebelum ini.
Malah Kurniawan yang dipinjamkan dari Como 1907 untuk menjadi pembantu jurulatih skuad Indonesia bagi kejohanan Sukan SEA kali ini, mengakui beliau masih dihantui beberapa siri kegagalan baik ketika karier pemain mahupun jurulatih.
Namun respons Kurniawan kepada FLASH SUKAN telah menggambarkan bahawa pengorbanan bekas jurulatih Sabah FC itu akhirnya terbalas selepas berjaya membantu pasukannya menewaskan Thailand 5-2 pada edisi kali ini.
“Pertama saya mahu mengucapkan kejayaan ini adalah milik seluruh rakyat Indonesia dan saya sangat gembira kerana akhirnya kami berjaya menjadi pemenang pingat emas pada tahun ini.
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo yang sentiasa memberikan sokongan teguh dan banyak membantu pasukan muda kami.
“Kejayaan ini juga telah berjaya mengubati kekecewaan saya ketika beraksi sepanjang Sukan SEA kerana ketika masih bergelar pemain, saya tewas kepada Thailand pada final edisi 1997 dan sekali lagi saya dikecewakan kepada Vietnam dalam aksi final 2019 sebagai pembantu jurulatih.
“Namun segala telah terubat dan saya percaya ini adalah satu permulaan baharu buat bola sepak Indonesia di masa akan datang,” katanya.
Alhamdulillah. Puji Tuhan. Astungkara. ❤🇮🇩
Penantian panjang selama 32 tahun, Garuda Nusantara sukses membawa pulang medali emas SEA Games 2023. 🥇
Selamat, Garuda Nusantara! 🦅#KitaGaruda #TimnasDay pic.twitter.com/I4DrXTg8h9
— PSSI (@PSSI) May 16, 2023
Dalam perkembangan sama, Kurniawan tidak berminat untuk melanjutkan lagi kekeruhan yang melibatkan insiden pergaduhan di antara pegawai Indonesia dan Thailand dalam aksi final itu.
Jelasnya lagi, dia memahami kehangatan kekecohan yang berlaku itu disebabkan kedua-dua pasukan memiliki semangat untuk tidak menyerah kalah dalam perlawanan.
“Saya sudah lupakan insiden itu kerana ketika itu semua orang begitu emosional. Saya fikir kejadian seperti ini berlaku di mana-mana seluruh dunia.
“Apa yang kita saksikan adalah dua pasukan yang berjuang habis-habisan tetapi akhirnya bola sepak sebenarnya mengamalkan semangat kekeluargaan dan kita harus memaafkan antara satu sama lain,” ujarnya.