JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mendedahkan bahawa temasya Sukan Paralimpik 2028 akan menjadi medan terakhirnya sebelum bersara.

Atlet kelahiran Gombak, Selangor ini memberitahu dalam tempoh empat tahun ini dia akan terus berusaha meningkatkan lagi prestasi dan akan cuba mencapai tahap maksimum kariernya bergelar atlet.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kisah tiga tahun menghantui saya berakhir” – Ziyad

Ziyad,34, mempamerkan aksi terbaiknya dalam kategori F20 (masalah pembelajaran ) pada temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris yang sedang berlangsung, menyaksikan dia berjaya merangkul perak sekaligus menjadi pingat ketiga miliknya sepanjang empat kali menyertai temasya terbesar dunia ini.

“Mungkin LA yang terakhir, tetapi kita tak tahu lagi perjalanan selepas ini. Namun bagi saya LA2028 adalah yang kelima Paralimpik saya dan cukuplah.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Flash Sukan (@flashsukan_official)


“Dalam masa saya saya memang sudah ada misi untuk cuba melakukan sesuatu yang luar biasa. Saya nak dapat sesuatu macam sekarang,” kongsinya ketika ditemui di Perkampungan Atlet di Saint-Denis.

Ziyad yang juga baharu dinobatkan sebagai juara dunia pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe Mei lalu turut berkongsi prestasi terkininya yang tewas kepada atlet Ukraine, Yarovyi Oleksandr.

“Sebenarnya ada seorang lagi dari Ukraine yang kuat (Koval Maksym) tapi tak dijangka budak muda tu (Oleksandr) yang pecah rekod dunia (17.61m). Saya memang dah jangka, cuma tidak tahu siapa yang akan pecah rekod. Kami bertiga sentiasa berlawan antara satu lain.

Ziyad (kiri) bersama dua atlet Ukraine yang sentiasa menjadi pencabarnya. Foto: MSN

“Saya cuba memecah rekod dunia, tapi setakat itu sahaja yang terbaik mampu saya buat (17.18m),” katanya.

Sebagai rekod, sepanjang empat temasya Sukan Paralimpik Ziyad berjaya merangkul kesemua pingat bermula di London 2012 (gangsa), Rio de Janeiro (2016) pingat perak, manakala emas di Tokyo 2020. Namun malangnya pingat emas itu tersebut dibatalkan berikutan isu teknikal yang dihadapinya.

Dan tahun ini Ziyad berjaya kembali dengan pingat perak. Secara keseluruhannya, dia sudah mempunyai tiga pingat pelbagai warna.