DUNIA bola sepak Palestin sekali lagi dikejutkan dengan berita duka apabila pemain tengah kelab Al-Yarmouk, Hamdi Lubbad, terkorban dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Gaza.

Tragedi itu turut meragut nyawa isteri dan empat anak perempuannya.

Keadaan rumah Hamdi Lubbad selepas serangan udara dari rejim zionist.

Hamdi, yang pernah bermain untuk kelab Ittihad Deir al-Balah, menjadi salah satu daripada 303 pemain bola sepak Palestin yang terkorban dalam konflik berterusan antara Israel dan Palestin.

Dalam pada itu, Israel dijadualkan akan bermain menentang Itali pada hari yang sama, walaupun tindakan kekejaman mereka semakin mendapat perhatian dan kecaman dari pelbagai pihak.

Pembunuhan ini sekali lagi menunjukkan kesan mendalam konflik ini ke atas rakyat Palestin, termasuk golongan atlet yang tidak terkecuali daripada keganasan. Sumber ini disahkan oleh wartawan Palestin, Abubaker Abed, yang berkongsi berita duka ini di platform X.

Pemain tengah kelab Al-Yarmouk, Hamdi Lubbad meraikan jaringan

Keadaan di Gaza semakin meruncing dengan serangan bertali arus yang bukan sahaja menghancurkan infrastruktur, tetapi juga membunuh harapan ramai, terutama bagi atlet muda yang mengimpikan untuk mengharumkan nama negara mereka di peringkat antarabangsa.

Kekejaman ini terus memberi kesan kepada pembangunan sukan di Palestin dan masa depan para atletnya.

Perbadanan bola sepak dunia FIFA masih berdiam diri dalam isu ini dan tiada tindakan tegas diambil terhadap Israel, sedangkan Rusia digantung dari sebarang pertandingan atas tindakan yang sama melibatkan konflik antarabangsa.