FOTO : FB Qabil Irfan
KEMENANGAN pertama Qabil Irfan di Moto4 Kejuaraan Spanish Superbike (ESBK) di Catalunya, Sepanyol mencatatkan sejarah baru bagi pelumba cilik negara ini.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan buat Qabil dan keluarganya, tetapi juga buat Malaysia di arena sukan antarabangsa.
Pelumba berusia 12 tahun asal Terengganu ini menunjukkan prestasi luar biasa sepanjang perlumbaan dan mencatat masa 20 minit 40.195 saat (s).
“Terutama sekali syukur pada Allah atas rezeki ini semua dengan izin-Nya,” kata Qabil dengan penuh rasa rendah diri.
Dia turut menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada bapanya, ibunya, adik-beradiknya, dan seluruh keluarga yang telah berkorban dan bekerja keras demi kejayaannya.
“Terima kasih tidak terhingga buat ayah, ummi, adik-beradik dan semua keluarga atas semua pengorbanan, usaha dan kerja keras demi Qabil,” tambah Qabil.
Qabil juga mengucapkan terima kasih kepada pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang banyak membantunya serta seluruh pasukan ZK Racing serta pasukan Frando Racing dan semua krew yang terlibat semasa berada di Sepanyol.
Selepas berakhirnya Pusingan 4, Qabil kini berada di kedudukan keempat dalam carta keseluruhan pelumba dengan 108 mata, manakala pelumba Sepanyol, Enzo Zaragoza masih mendahului kedudukan dengan 163 mata.
Pusingan 5 dijadual berlangsung di Litar Estoril, Portugal dari 29 Ogos hingga 1 September depan.