BINTANG bola jaring Negeri Sembilan Venom dan skuad kebangsaan, Nur Lailatulladhawiyah Che Yahaya menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuknya mengawal pemakanan dan menjalani latihan bagi mengekalkan prestasi dirinya sebagai atlet.

Pemain yang bermain di posisi GD itu menyambut Syawal tahun ini bersama-sama keluarga tercinta di Seremban, Negeri Sembilan dan memilih busana bewarna hijau untuk digayakan di pagi Aidilfitri.

Sebagai atlet, cabaran terbesar pada Aidilfitri adalah menjaga pemakanan kerana Hari Raya adalah dimana sanak saudara berkumpul sambil menjamu selera selepas sebulan berpuasa.

“Makanan kegemaran saya adalah nasi impit dan kuah kacang. Saya gunakan bulan Ramadan sebagai medan untuk kawal pemakanan kerana biarpun mahu makan macam-macam tetapi Alhamdulillah saya dapat mengawalnya dan tidak mengambil makanan secara berlebihan.

“Walaupun tidak ada kem atau program latihan, saya masih membuat latihan ‘body weight’ dan juga menyertai perlawanan bola jaring sosial pada sebelah malam untuk kekalkan prestasi saya,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Ditanya sama ada masih menerima duit raya ataupun sudah memberi duit raya, Laila mengatakan dia lebih gembira menerima duit raya namun kerana sudah bekerja dia juga memberi duit raya kepada anak-anak buahnya serta kenalan rapat.

Selepas Aidilfitri nanti, Laila akan menumpukan perhatiannya kepada latihan yang lebih kerap untuk persediaan menjelang pemilihan untuk skuad bola jaring ke Kejohanan Dalam Dewan pada Julai 2023 dan Netball Super League pada penghujung tahun.

“Di kesempatan ini, saya mahu mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada pengikut laman Flash Sukan serta sesiapa yang mengenali saya terutama penyokong sukan bola jaring dan sentiasa jaga diri anda semua di musim perayaan ini,” ucapnya kepada semua.