SETELAH sekian lama, akhirnya Stadium MBPJ Kelana Jaya kembali dipenuhi dengan penyokong apabila tiket perlawanan Selangor FC bertemu Kedah Darul Aman FC difahamkan telah habis dijual.

Penyokong Gergasi Merah nampaknya sudah tidak sabar untuk menyaksikan skuad kendalian Nidzam Jamil itu beraksi selain menunjukkan tanda solidariti kepada pemain sayap, Faisal Halim yang masih menjalani sesi pemulihan.

Pasukan Merah Kuning kembali menjadi perhatian selepas muncul juara Selangor Asia Challenge 2024 serta beberapa insiden yang melanda kelab hingga terpaksa menarik diri dari saingan Piala Sumbangsih.

Pertembungan antara dua pasukan yang mempunyai sejarah tersendiri dalam Liga Malaysia pasti mampu mencipta satu lagi aksi yang menarik.

Sentimen simpati atas nasib menimpa pemain Selangor, Faisal Halim akan menghiasi perlawanan esok apabila tribute buat beliau akan dilakukan dan para penyokong akan berdiri dan bertepuk tangan pada minit ke-7 untuk menunjukkan solidariti buat pemain kesayangan mereka.

The Red Giants tidak bermain pada perlawanan minggu lepas kerana menarik diri atas faktor keselamatan yang menyelubungi pasukan, kemungkinan ia akan menggangu rentak mereka apabila tiada perlawanan kompetitif lebih seminggu buat pasukan itu.

Pasukan Sang Kenari pula memenangi perlawanan pertama liga mereka selepas menewaskan PDRM FC dengan keputusan 1-0 tempoh hari, memberikan mereka momentum dan keyakinan untuk mendapatkan satu lagi keputusan positif walaupun berdepan kelab yang lebih sukar.

Berdasarkan lima perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan, Selangor FC telah memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir liga ketika bertemu Kedah Darul Aman FC.

Kali terakhir Sang Kenari menang menentang Selangor di tempat lawan ialah ketika musim 2021 dimana Kedah berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1 di Petaling Jaya.

Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mengatakan bahawa hampir kesemua pemain dalam pasukan Merah Kuning disahkan cergas dan bersedia untuk beraksi sekaligus beliau mempunyai skuad terbaik untuk diturunkan malam esok.

Selangor menewaskan Kedah D.A dengan keputusan 3-2 di Petaling Jaya musim lepas. (Sumber Gambar: FB Selangor FC)

Pasukan Kedah Darul Aman FC juga dikatakan tidak mempunyai masalah kecederaan dan Nafuzi Zain menyifatkan aksi esok sebagai pertembungan yang menarik dengan skuad kendalian Nidzam Jamil dianggap antara pencabar kejuaraan musim ini.

Antara pemain yang akan mencuri tumpuan dalam perlawanan ialah Alvin Fortes untuk Selangor FC dan Syafiq Ahmad untuk Kedah Darul Aman FC.

Alvin menunjukkan keupayaannya sebagai pemain yang mampu menggelecek bola dengan kepantasannya serta mampu melakukan percubaan dari luar kotak penalti ketika perlawanan pra-musim dijalankan.

Syafiq Ahmad pula seolah-olah mendapat nafas baharu bersama Kedah dalam usahanya untuk menjadi penyerang utama negara selepas berjaya meledak gol terpantas musim ini seawal 34 saat buat pasukan Sang Kenari ketika bertemu PDRM FC sebelum ini.

Ia membuktikan yang Syafiq mempunyai ketajaman di depan pintu gol dan dia boleh menjadi watak penting untuk Kedah mendapatkan tiga mata berdepan Selangor.

Selangor FC yang juga merupakan juara dua kali Liga Super akan bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium MBPJ pada pukul 8.15 malam, Sabtu.