HAJAT besar skuad kriket negara ke Sukan Asia Hangzhou yang mahu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik bukan suatu yang mudah, namun perlu dimulakan dengan kemenangan ke atas Hong Kong, esok (Selasa).
Kedua-dua pasukan akan membuka saingan pusingan pertama kriket wanita.
Pengurus pasukan kriket wanita, V.Vijayalingam berkata, untuk mensasarkan pingat, agak terlalu sukar berikutan adanya empat pasukan pilihan yang berada di ranking tertinggi dunia seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh.
“Kita perlu menang ke atas Hong Kong dan mara ke pertemuan final pusingan kelayakan.
“Selepas itu akan beraksi di suku akhir yang mana Top 4 seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh sudah menunggu,” kata Vijayalingam.
Berdasarkan undian, pasukan wanita negara menentang Hong Kong pada jam 2.30 petang, manakala satu lagi perlawanan pusingan kelayakan membabitkan Indonesia dan Mongolia yang dijangka berlangsung jam 9.30 pagi, di Padang Kriket Universiti Teknologi Zhejiang.
Mengikut ranking dunia, India memiliki pasukan terbaik T20 wanita di Asia yang berada di kedudukan keempat dunia, Pakistan (7), Sri Lanka (8), Bangladesh (9), Thailand (12), Indonesia (21), Hong Kong (22) dan Malaysia (27), bagaimanapun Thailand tidak mengambil bahagian pada edisi kali ini.
Pada Temasya Guangzhou 2010, Pakistan, Bangladesh dan Jepun masing-masing menang pingat emas, perak dan gangsa wanita.
Manakala di Temasya Incheon 2014, emas pasukan wanita dimenangi Pakistan, diikuti perak milik Bangladesh dan gangsa, Sri Lanka.