SKUAD hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers, berdepan laluan sukar untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia 2024 selepas tewas 4-2 kepada China dalam aksi kedua yang berlangsung di Hulunbuir, Inner Mongolia, China, semalam.
Selepas dua perlawanan, Malaysia hanya mampu mengumpul satu mata daripada keputusan seri 2-2 menentang Pakistan pada perlawanan pembukaan pada ahad, meletakkan skuad bimbingan Sarjit Singh dalam keadaan terdesak untuk mencatat kemenangan dalam baki perlawanan pusingan pertama.
Dalam aksi menentang China, tuan rumah terlebih dahulu mendahului menerusi gol pukulan sudut penalti oleh Gao Jiesheng pada minit kesembilan.
Namun, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-14.
China sekali lagi di hadapan pada minit ke-32 selepas Jiesheng menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti.
Gol padang Lin Changliang pada minit ke-40 menambah derita Speedy Tigers apabila China melebarkan jurang kepada 3-1.
Malaysia berusaha mengejar menerusi jaringan Faizal Saari yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-50 untuk merapatkan jurang.
Namun, usaha mencari gol penyamaan gagal apabila China sekali lagi menjaringkan gol, kali ini menerusi pukulan penalti oleh Chao Jieming pada minit ke-56, sekaligus memastikan kemenangan 4-2 buat pasukan tuan rumah.
Dengan kekalahan ini, Malaysia perlu memenangi kesemua baki tiga perlawanan pusingan pertama, yang dijalankan secara liga sepusingan, untuk memastikan tempat dalam kelompok empat teratas dan mara ke separuh akhir.
Anak buah Sarjit Singh bakal berdepan India pada Rabu ini, diikuti Jepun pada Khamis, dan Korea Selatan pada Sabtu.