FRANK Lampard mengakui cuba menghindari daripada berada dekat dengan Cristiano Ronaldo ketika bercuti.
Bekas pemain England dan ikon kelab Chelsea ini berkongsi detik terserempak dengan Ronaldo yang kebetulan bercuti di hotel yang sama dengan pemain Portugal itu beberapa bulan lalu.
Jelas Lampard, dia tidak mahu sentiasa berada dekat dengan Ronaldo,39, malah akan memakai baju ketika bergambar di sebelah pemain itu yang mempunyai bentuk badan luar biasa.
“Saya terserempak dengan dia (Ronaldo) beberapa bulan lalu, tinggal di hotel yang sama, dan mujurlah dia berjemur di bawah sinaran matahari agak jauh dari saya.
“Saya pastikan akan berada jauh dari Ronaldo kerana dia mempunya bentuk badan yang luar biasa. Saya bagi ruang kepadanya.
“Saya dan anak saya bergambar bersama kerana dia adalah pemain yang luar biasa, dan sebelum itu saya cepat-cepat menyarungkan baju di badan saya,” kongsi Lampard yang menyanjungi Ronaldo kerana mempunyai disiplin tinggi.
Malah Lampard turut berkongsi bahawa Ronaldo turut pergi ke gimnasium.
“Saya lihat dia pergi ke gim dua kali sehari bersama jurulatih peribadi. Ia menggambarkan betapa dedikasinya terhadap apa yang dia lakukan.
“Tetapi saya, hanya duduk minum dan memberi tepukan kepada Ronaldo (selepas tamat sesi gim),” tambah Lampard.
Ronaldo kini sedang beraksi bersama Portugal untuk rekod keenam aksi Kejuaraan Eropah (Euro).
Dia telah menjaringkan 895 gol untuk kelab dan negara dengan rekod rasmi dan musim ini seolah-olah membayangkan bakal mencatat 1,000 gol keseluruhan.
Selain itu, Ronaldo turut selesa mendahului carta penjaring terbanyak Liga Pro Saudi dengan 35 gol.