KEJOHANAN  Laola Cup 2024 di Hamburg, Jerman, merupakan peluang keemasan bagi pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Apa tidaknya, ini merupakan peluang unik untuk pemain muda memperlihatkan bakat mereka dan belajar daripada berinteraksi dengan pasukan dari pelbagai negara seluruh dunia.

Pengerusi TH Global Football Camp (THGFC), Toh Puan Noor Suzanna Abdullah berkata, objektif utama penyertaan dalam kejohanan ini adalah untuk memberikan pemain muda Kedah pengalaman berharga bermain dengan pemain dari luar negara.

“Datang bermain dengan 200 pasukan yang ada di sana adalah satu peluang yang amat istimewa. Kami mempunyai empat hari berturut-turut untuk bertanding, di mana dalam tiga hari pertama, kami akan bermain sebanyak 18 perlawanan.

“Walaupun kalah, kami masih berpeluang untuk bertanding dalam 18 perlawanan tersebut. Namun, jika kami kalah terus, mungkin kami tidak dapat bertanding dengan pasukan-pasukan lain yang menang.

“Semuanya ini akan memberikan pemain kita pengalaman bermain dengan pemain dari luar negara. Ini termasuk pemain dari United Kingdom, Sepanyol, Afrika, dan Korea,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Titi Gajah, Alor Setar.

Turut hadir, Pengasas dan Pengarah Urusan THGFC, Datuk Indera Tunku Harunnarasheed Putra, Pengarah Teknikal Kedah Darul Aman FC, Nelson San Martin, penaja dan ibu bapa pemain.

Toh Puan Noor Suzanna (empat, kanan) bergambar bersama pihak penaja dalam satu majlis di Alor Setar.

Kejohanan Laola Cup di Hamburg, Jerman bertujuan untuk menyediakan platform kompetitif bagi pasukan bola sepak dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, untuk bersaing dan menimba pengalaman berharga di pentas antarabangsa.

Pada tahun lepas, THGFC telah mendapat tajaan daripada beberapa syarikat swasta yang membantu menaja pasukan SSN Kedah.

“Bagi saya, sebab saya tidak dapat menguji semua pemain B-15 di seluruh Malaysia, dan penaja-penaja saya ini adalah daripada orang Kedah, secara automatik saya mengambil pasukan yang terbaik di Kedah,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, pasukan ini berjaya menjuarai satu kejohanan dan sebagai ganjaran, mereka dihantar untuk menjalani latihan selama seminggu di Real Madrid pada tahun 2023.

Justeru itu, bagi tahun ini, pasukan yang sama akan menyertai kejohanan Laola Cup untuk mengukur prestasi mereka selepas menjalani latihan intensif tersebut.

Pemain SSN Kedah bergambar bersama para penaja.

Tambah Toh Puan Noor Suzanna, penganjur Laola Cup sangat mengalu-alukan penyertaan pasukan dari Malaysia dan memberikan pengiktirafan sebagai pasukan pertama dari negara ini yang menyertai kejohanan mereka.

“Pemain yang sama akan menyertai kami tahun ini. Setelah mendapat pengalaman latihan di Madrid, tahun ini kami akan pergi untuk menyertai kejohanan pula.

“Saya ingin melihat prestasi pemain-pemain ini selepas menjalani latihan intensif. Selepas latihan, saya juga nak melihat bagaimana mereka bermain dalam kejohanan sebenar,” katanya percaya kebolehan skuad yang kini dikendalikan oleh jurulatih Mohamad Azizi Abdul Aziz.

Senarai penuh pemain SSN Kedah.

Laola Cup telah dianjurkan selama enam tahun berturut-turut di Hamburg, Jerman. Setiap tahun,  pasukan dari seluruh dunia menyertai kejohanan ini dengan pasukan dari Kedah adalah wakil pertama Malaysia yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini.