MUSIM 2023 menyaksikan perubahan dalam format liga dengan pertandingan Liga Premier dihentikan dan digantikan dengan Piala MFL yang membariskan 15 pasukan B-23 yang bertindak sebagai pasukan feeder buat pasukan Liga Super.

Tujuan utama Piala MFL diwujudkan adalah untuk memberikan lebih banyak perlawanan kompetitif buat pemain B-23 dalam negara sekaligus menjadi medan untuk membentuk lebih banyak ‘pool’ pemain untuk mewakili negara.

Selepas berakhir peringkat kumpulan, lapan pasukan, masing-masing empat dari Kumpulan A dan B kini bakal berentap sesama sendiri dalam liga satu pusingan untuk menentukan dua tempat teratas yang akan layak ke final Piala MFL.

Kumpulan A menyaksikan Terengganu FC II muncul juara kumpulan dihadapan Johor Darul Ta’zim II, PDRM FC dan Kedah Darul Aman B manakala Selangor FC, Kuala Lumpur City Extension, Sri Pahang FC dan Perak FC II mewakili Kumpulan B.

Terengganu FC II dibawah kendalian Hairuddin Omar cemerlang dengan 11 kemenangan, satu seri dan dua kekalahan dari 14 perlawanan untuk mengungguli JDT II dengan kelebihan lima mata tetapu Harimau Selatan mempunyai jaringan terbanyak dengan 31 gol.

Selangor FC pula mengatasi jiran setempat Kuala Lumpur City Extension dengan dua mata dan kini kelapan-lapan pasukan ini akan bertemu sesama sendiri untuk menentukan tempat ke final.

Sehingga tamat peringkat kumpulan, penyerang JDT II, Gabriel Nistelrooy mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 12 gol diekori rapat penyerang import Kedah Darul Aman B, Ebenezer Assufiah dengan 11 gol.

Selesai tujuh perlawanan secara liga, dua pasukan tempat teratas akan layak ke final yang dijadualkan pada November 2023 di venue yang bakal ditetapkan oleh Malaysia Football League.