PENYERANG Kuala Lumpur City FC, Tchetche Kipre telah menarik balik kenyataan peguamnya yang mengatakan dia beraksi menggunakan visa pelancong dan memuji tindakan KL City yang banyak membantunya dalam isu permit kerja.
Pemain kelahiran Ivory Coast itu juga menyatakan dia sudah mencapai persetujuan dengan kelab untuk meninggalkan kelab lebih awal kerana perlu pulang untuk menjaga bapanya yang kini sakit di kampungnya.
Kipre memuat naik kenyataan itu menerusi laman Instagram peribadinya yang turut menyatakan laporan yang telah dilakukan itu tidak relevan kerana kelab telah melaksanakan tanggungjawab.
“Apabila saya melihat kembali perjalanan saya dengan Kuala Lumpur City, musim ini adalah musim yang baik tetapi dengan kekangan dan rintangan yang kini telah selesai. Saya dengan tulus ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memainkan peranan dalam perjalanan saya ini.
“Kelab dan saya telah menemui satu persetujuan, membiarkan pintu terbuka untuk potensi saya kembali. Laporan mengenai isu permit kerja adalah kisah lalu dan Kuala Lumpur City telah melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Kini keluarga diutamakan terutama ayah saya yang memerlukan saya pada masa ini. Terima kasih kepada rakan sepasukan, pemain, jurulatih dan seluruh kelab yang saya hormati serta persahabatan yang dikongsi. Sumbangan kelab diiktiraf sewajarnya, menjadikan laporan di luar sana tidak relevan. Sehingga kita bertemu lagi,” tulis kenyataan itu.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard menjelaskan kepada FLASH SUKAN mengenai dakwaan pemainnya yang tidak menerima gaji sebanyak tiga bulan yang mereka sudah mencapai kata sepakat sebagai penyelesaian masalah itu.
“Kami sudah menemui jalan penyelesaian dan melakukan perjanjian bersama pemain. Kami mempunyai jawapan dan bekerja keras untuk menyelesaikan musim 2023 ini dengan nota yang baik dan ianya sudah tidak lama untuk kami selesaikan seperti kami lakukan pada musim-musim sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.
KL City kini sedang fokus untuk perlawanan terakhir menentang Sri Pahang FC pada Sabtu dengan para pemain dilihat gembira dan bersatu hati meluangkan masa makan tengah hari bersama-sama di sebuah restoran.