PRESTASI dua jaguh olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024, mungkin menjadi petunjuk penting kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam memutuskan siapa yang lebih layak diberi tiket wild card ke Sukan Olimpik Paris.

Azeem, 20, akan dijangka tiada masalah untuk beraksi final 100m lelaki di AUG yang berlangsung di Malang-Surabaya, Indonesia pada Selasa ini, manakala Shereen dalam acara final 400m wanita, pada Rabu.

Malah, Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard sendiri mengakui teruja untuk melihat pencapaian jaguh dua pecut negara itu di AUG.

Beliau tidak menolak kemungkinan prestasi dua pelari itu di Temasya Sukan Universiti serantau itu boleh dijadikan alasan pemilihan.

Pengarah Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard tetap teruja untuk melihat prestasi Azeem dan Shereen di Malang-Surabaya.

Berdasarkan situasi yang berlaku, Ballard berasa tidak mustahil untuk kedua-dua atlet terbabit memecahkan rekod kebangsaan dalam acara masing-masing.

“Tiada masalah untuk Azeem mahukan Shereen memecahkan rekod dan mereka boleh melakukan yang terbaik di AUG.

“Jadi saya menanti apa yang dapat mereka lakukan di AUG untuk menilai pencapaian mereka tahun ini sebelum menuju ke tahun 2025,” katanya.

Berdasarkan kenyataan Ballard itu, mungkin boleh digambarkan bahawa siapa yang berjaya memecah rekod kebangsaan di AUG, mempunyai kelebihan untuk menerima wild card.

Untuk rekod Azeem mencatat masa 10.09s di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Cali, Columbia 2022, bagi menetapkan rekod kebangsaan 100m lelaki baharu.

Shereen pada awal bulan ini, membaharui rekod kebangsaan miliknya menerusi catatan 51.79s ketika melakukannya di Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat.

Begitupun, Ballard mengesahkan yang Shereen tidak akan beraksi dalam acara 100m wanita di AUG, berikutan tempoh pendaftaran peserta dalam acara sudah berakhir.

Pada Khamis, KOM menerusi Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim melanjutkan tarikh pengumuman nama atlet yang dipilih menggunakan wild card ke Temasya Paris 2024.

Keputusan hanya akan dibuat pada 2 atau 3 Julai ini sejurus selepas tamatnya acara Azeem dan Shereen di AUG.